KUALA LUMPUR: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu pembekalan sarung tangan bernilai RM5.1 juta, empat tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, P. Dinesh, 35, didakwa bersama pengarah syarikat, R. Gopinatan Pillai, 60, telah memperdayakan seorang wanita supaya mempercayai bahawa 150,000 kotak sarung tangan jenis ‘coats nitrile examination’ sedia untuk dijual oleh syarikat Aspen Broadway Sdn. Bhd. kepada Atlas Holdings.
Ia menyebabkan mangsa yang juga pengarah syarikat sebuah firma guaman menyerahkan wang berjumlah RM5.1 juta ke dalam akaun bank milik sebuah firma guaman berlainan yang mewakili Aspen Broadway sedangkan stok sarung tangan itu sebenarnya tidak wujud.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 9 November 2020 di sebuah kondominium di Jalan Tun Ismail, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Pada 10 Februari lalu, media melaporkan Gopinatan Pillai yang merupakan pengarah syarikat Aspen Broadway telah didakwa atas satu pertuduhan menipu dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM5.1 juta membabitkan mangsa sama.
Dinesh yang hadir ke mahkamah bersama ibu dan isterinya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.
Timbalan Pendakwa Raya, Chow Siang Kong mencadangkan jaminan RM500,000 bersama dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.
Bagaimanapun, peguam bela, Mohd. Akmal Mohd. Taufik yang mewakili tertuduh memohon jumlah wang jamin dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai jurujual di sebuah restoran dengan pendapatan RM1,500 sebulan, isteri tidak bekerja serta mempunyai seorang anak yang masih bersekolah.
“Anak guam saya juga menanggung ibunya yang menghidap sakit buah pinggang dan arthritis. Tertuduh telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan berjanji akan hadir pada setiap tarikh mahkamah,” katanya.
Beliau turut berkata kadar jaminan yang dicadangkan pendakwaan adalah terlalu tinggi dan seolah-olah menghukum tertuduh sebelum disabitkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia berserta syarat tambahan yang dimohon. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 28 Julai ini bagi serahan dokumen.-UTUSAN










