Pasukan Kim Pan Gon sedia tinggalkan Harimau Malaya

Pasukan Kim Pan Gon sedia tinggalkan Harimau Malaya

KIM Pan Gon bersedia meninggalkan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya jika khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat kekalahan daripada lima perlawanan terakhir memberi tamparan hebat kepada skuad Harimau Malaya, sehingga timbul spekulasi Kim Pan Gon bersama barisan kejurulatihan dari Korea Selatan bersedia ‘angkat kaki’ meninggalkan pasukan kebangsaan.

Lebih menguatkan lagi spekulasi itu, difahamkan mereka telah menghantar surat (bersedia penamatan kontrak lebih awal) kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bersedia untuk meninggalkan pasukan sekiranya khidmat mereka tidak lagi diperlukan.

Surat berkenaan dihantar selepas pasukan kebangsaan tewas kepada Oman dalam kempen kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Perkara itu disahkan oleh sumber dan berkata, pasukan kejurulatihan Pan Gon telah menghantar surat kepada FAM dan memohon pampasan sekurang-kurangnya tiga bulan gaji jika badan induk bola sepak negara itu menghentikan khidmat mereka kelak.

“Saya difahamkan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya termasuk Pan Gon sudah menghantar surat itu, sekali gus bersedia untuk meninggalkan pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan.

“Jika mengikut perkiraan, kontrak mereka sepatutnya berakhir pada tahun depan namun mereka sudah bersedia meninggalkan pasukan dengan hanya meminta tiga bulan gaji sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Pan Gon mula membimbing skuad kebangsaan pada awal 2022 dan diberikan kontrak dua tahun dengan pilihan untuk disambung lagi jika berjaya menunjukkan prestasi cemerlang.

Dua kekalahan berturut-turut kepada Oman menyebabkan peluang skuad Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2027 lebih awal dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menjadi sukar.

Melihat kepada kekalahan itu, dapat saksikan hampir keseluruhan pemain seolah-olah ‘memberontak’ dan tidak mahu bermain seperti kebiasaan, malah prestasi itu jauh berbeza berbanding ketika Harimau Malaya mengikat Korea Selatan 3-3 di Piala Asia 2023.

Situasi itu menimbulkan persoalan adakah berlaku pergolakkan atau krisis dalaman dalam kem negara hingga menjejaskan rentak permainan skuad kendalian Pan Gon.

Dalam perkembangan lain, perletakkan jawatan pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Wira Kamarul Ariffin Mohd Shahar serta tiga pegawai ‘rapat’ Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi isyarat bahawa krisis dalaman membabitkan badan induk bola sepak itu sedang berlaku.

Bagaimanapun, usaha Mingguan Malaysia untuk cuba menghubungi Kamarul dan juga tiga pegawai berkenaan bagi mengetahui perkara sebenar berkenaan apa yang sedang berlaku tidak berjaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya