Shahril mahu 'hapus' budaya lama FAM

Shahril mahu ‘hapus’ budaya lama FAM

Shahril Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahril Mokhtar mahu melihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bergerak seiring dengan tuntutan era moden menerusi pendekatan kepimpinan yang lebih telus, inklusif dan berorientasikan sekiranya diberi mandat menerajui badan induk itu.

Calon Presiden FAM bagi baki penggal 2025-2029 itu berkata, keutamaan beliau bukan sekadar mengisi kekosongan, sebaliknya melaksanakan perubahan yang mampu memberikan impak segera kepada landskap bola sepak negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu menjelaskan, manifesto yang dibawanya berpaksikan empat teras utama iaitu ketelusan pentadbiran, kepimpinan baharu, pengukuhan akar umbi dan kelestarian kewangan.

Menurutnya, aspek ketelusan perlu menjadi agenda utama selepas beberapa isu pentadbiran dan tadbir urus yang menjejaskan imej badan induk berkenaan.

“Paling utama, saya mahu terapkan nilai ketelusan dalam menguruskan FAM. Kalau kita lihat daripada audit AFC baru-baru ini, ada isu berkaitan ketirisan, ketidaktelusan dan sebagainya.

“Kedua adalah kepimpinan cara baharu. Budaya angguk perlu dihapuskan kerana kita berada pada zaman moden dan generasi baharu tidak boleh lagi mengamalkan budaya seperti itu,” katanya.

Bagaimanapun, Shahril berkata, perubahan yang ingin dibawa tidak akan berjaya sekiranya FAM terus beroperasi dengan pendekatan lama yang tidak lagi sesuai dengan cabaran semasa.

Beliau turut menegaskan pembangunan ahli gabungan dan akar umbi perlu diberi perhatian lebih serius kerana kedua-dua elemen itu merupakan asas kepada kemajuan bola sepak negara.

Katanya, hubungan antara FAM dan ahli gabungan tidak boleh hanya wujud ketika musim pemilihan atau menjelang kongres semata-mata.

“Ahli gabungan dan akar umbi perlu dititikberatkan. Selama ini saya lihat ketika kongres, kita nampak mereka minta undi, selepas itu tidak ada apa-apa. Jadi perkara ini perlu diperbetulkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahril melihat kelestarian kewangan sebagai satu lagi cabaran besar yang perlu ditangani bagi memastikan pembangunan bola sepak negara dapat dilaksanakan secara mampan.

Beliau berpandangan FAM perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada keseluruhan ekosistem bola sepak dan bukannya hanya menumpukan kepada kepentingan badan induk tersebut.

“FAM adalah badan induk bola sepak negara. Jadi perspektifnya tidak boleh melihat FAM sahaja, sebaliknya keseluruhan ekosistem termasuk liga, kelab dan ahli gabungan.

“Kalau ada rezeki dan terpilih, tempoh yang ada hanya sekitar dua hingga dua setengah tahun. Jadi saya tidak melihat manifesto untuk tiga, empat atau lima tahun.

“Saya mahu fokus kepada perkara jangka pendek dan perubahan yang boleh dibuat dalam tempoh dua tahun untuk membetulkan keadaan kerana ini adalah titik paling rendah bagi saya dalam industri bola sepak negara,”ujarnya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×