PARLIMEN: Giliran tunai haji dijangka lebih singkat 2030

PARLIMEN: Giliran tunai haji dijangka lebih singkat 2030

ZULKIFLI HASAN -JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tempoh  jemaah Malaysia menunggu giliran bagi menunaikan haji dijangka lebih pendek menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkara tersebut dijangka susulan kerajaan Arab Saudi yang ingin meningkatkan jumlah jemaah kepada lima juta orang menjelang tahun 2030 berbanding dua juta pada ketika ini.

Menurut  beliau, usaha kerajaan Arab Saudi itu sekali gus bakal membolehkan jemaah negara ini lebih cepat  mengerjakan haji.

“Apa pun usaha untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji, ia tidak boleh lari daripada keputusan pihak kerajaan Arab Saudi meluluskan kuota haji tahunan untuk setiap negara termasuk Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang memintanya menyatakan mekanisme yang dilaksanakan kerajaan bagi memendekkan tempoh giliran menunggu jemaah haji.

Untuk rekod, kuota rasmi negara pada musim haji 1445H/2024 adalah 31,600  jemaah.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata,  kerajaan akan membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi supaya jumlah jemaah haji negara ini ditambah berdasarkan perangkaan penduduk terkini Malaysia.

“Kerajaan turut memohon kuota tambahan setiap tahun, namun permohonan kajian semula kuota tahunan dan pemberian kuota tambahan tertakluk kepada keputusan  Arab Saudi,” katanya.

Katanya, kini terdapat sembilan bakal jemaah haji dalam kalangan  B40 dan 50 bakal haji kategori M40 dilaporkan sudah  membuat bayaran penuh untuk mengerjakan haji.

“Sejumlah 221 orang lagi bersetuju menerima sebahagian sahaja daripada Bantuan Kewangan Haji.

“Jumlah keseluruhan jemaah haji yang menolak tawaran bantuan kewangan haji akan diketahui selepas selesai semua bakal haji menjawab tawaran tunai haji,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN