AIR tangan ibu merupakan sajian paling enak di dunia. Biarpun hidangan ringkas seperti telur masak kicap, namun tetap sempurna rasanya apabila dimasak oleh bonda tersayang.
Menjelang Ramadan sudah tentu ramai yang terkenang memori indah berbuka dengan air tangan ibu di kampung halaman masing-masing.
Bagi mengubat kerinduan itu, Hotel Dorsett Kuala Lumpur menyajikan menu-menu istimewa buat
pengunjung terutama di gerai Dapur Ibunda.
Cef Eksekutif, Mohd. Azmi Sarginen berkata, Dapur Ibunda menampilkan sajian tradisi popular dari lima negeri iaitu pantai Timur, zon utara dan selatan tanah air di samping Sarawak.
Menu itu ialah daging salai masak lemak, telur itik tumis darat, ayam pansuh manok, kari kepala ikan mangga muda dan burung puyuh percik Kelantan.

“Mungkin ada di antara pelanggan yang kehilangan bonda tersayang dan tidak berpeluang lagi menikmati suasana berbuka bersama keluarga di kampung halaman.
“Sehubungan itu, kami membawakan hidangan-hidangan popular dari lima negeri bagi mengimbau nostalgia zaman kecil di samping memikat selera sempena Ramadan ini.
“Istimewanya, empat daripada menu itu pertama kali dihidangkan di sini, bahkan dimasak dengan cara tradisi bagi mengekalkan keenakan rasanya seperti air tangan bonda,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
BERGURU MEMASAK
Menurut Mohd. Azmi, kebanyakan resipi dipelajari daripada orang tempatan termasuk turut berguru dengan kakitangan istana ketika berkhidmat di Kelantan dan Sarawak bagi memastikan keaslian rasa serta aromanya.
Misalnya, untuk menyediakan ayam pansuh manok, sebanyak 15 batang buluh diperlukan setiap hari bagi memenuhi keperluan seramai 150 pelanggan.
Keseluruhan tempoh untuk memasak hidangan itu mengambil masa lebih tujuh jam dengan perapan selama enam jam, diikuti proses memasukkan ayam ke dalam buluh manakala 30 minit pula bagi aktiviti membakar.
“Begitu juga dengan daging salai dan burung puyuh percik yang dihasilkan sendiri, termasuk menggunakan rempah-ratus buatan tangan serta santan perah,” katanya.
Selain gerai Dapur Ibunda, lebih 100 juadah dihidangkan di Hotel Dorsett Kuala Lumpur sempena bufet Ramadan bertemakan Sajian Rasa Nusantara itu antaranya kambing golek, lemang, ketupat, siput sedut masak lemak dan aneka kuih-muih tempatan.
Bagi pembelian awal sehingga 10 Mac ini untuk dewasa, harga dikenakan hanya RM138 untuk seorang
Maklumat lanjut, hubungi atau kirimkan mesej pada WhatsApp 012-6287930 atau 03-27161010.











