MUNICH: Harry Kane mencetus kebangkitan Bayern Munich menerusi dua gol ketika membantu pasukannya layak ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan agregat 3-1 ke atas Lazio.
Pada aksi di Allianz Arena awal pagi tadi, Bayern Munich berjaya melakar kemenangan 3-0 pada aksi kedua peringkat 16 terakhir UCL sekali gus memadam kelebihan 1-0 yang dibawa Lazio ke Munich.
Kane menanduk gol pembukaan pada minit ke-38 untuk menyamakan kedudukan agregat dan Thomas Mueller menggandakan jaringan untuk memberi kelebihan 2-0 pada babak pertama.
Memasuki babak kedua, Kane sekali lagi menemui sentuhan penyudah di minit 66 apabila memanfaatkan bola muntah rembatan Leroy Sane yang gagal dikeluarkan dengan kemas oleh panjaga gol Lazio, Ivan Provedel.
“Ia malam yang sempurna untuk kami. Semua bermain dengan cukup bertenaga, melakukan tekanan kepada lawan, mencipta peluang demi peluang dan ia antara persembahan terbaik kami,” kata Kane.
Sementara itu dalam satu lagi aksi menyaksikan Paris Saint Germain (PSG) melakar kemenangan 2-1 ke atas Real Sociedad untuk mara ke suku akhir dengan agregat 4-1.
Kedua-dua gol di Stadium Anoeta iaitu laman lawan dijaringan oleh Kylian Mbappe pada minit 15 dan 56. -AGENSI