WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin memberitahu rakan sejawatannya dari Israel, Yoav Gallant bahawa jumlah kematian orang awam di Gaza adalah terlalu tinggi.
Austin berkata sedemikian sehari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi menuntut gencatan senjata di kawasan Palestin yang dilanda perang.
Setakat semalam, seramai 32,414 penduduk Gaza terkorban 74,787 cedera.
Bercakap pada pertemuan dengan Gallant, Austin berkata, jumlah bantuan kemanusiaan yang sampai ke Gaza juga kekal terlalu rendah.
“Gaza sedang mengalami malapetaka kemanusiaan dan keadaan menjadi lebih teruk.
“Dan kami memerlukan peningkatan segera dalam bantuan untuk mengelakkan kebuluran dan kerja kami untuk membuka koridor kemanusiaan sementara melalui laut akan membantu, tetapi kuncinya masih memperluaskan penghantaran bantuan melalui darat,” kata ketua Pentagon itu.
Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan kritikal ke Gaza menyebabkan amaran bahawa wilayah Palestin sedang menghadapi kebuluran.
Perjalanan Gallant ke ibu negara AS itu juga dibuat ketika UNSC mengundi pada hari Isnin yang menyokong resolusi menggesa gencatan senjata segera di Gaza di mana lebih 32,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Israel melancarkan serangan ketenteraannya pada awal Oktober lalu.
AS dilaporkan berkecuali daripada undian gencatan senjata itu dan bukannya menggunakan kuasa vetonya, satu langkah yang menurut pakar menyerlahkan kekecewaan Presiden, Joe Biden terhadap kepimpinan Israel terutamanya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Netanyahu bagaimanapun membidas pentadbiran Biden kerana gagal menyekat langkah itu dan menolak lawatan yang dirancang ke AS oleh delegasi kerajaan Israel.
Saluran media AS dan Israel melaporkan bahawa Gallant sedang dalam perjalanan ke Washington untuk meminta penghantaran senjata supaya dipercepatkan.
Gallant berkata bahawa dia juga merancang untuk membincangkan kerjasama AS-Israel untuk memastikan kelebihan dan keupayaan ketenteraan Israel dalam pertemuannya de_ngan Austin.
Walaupun semakin banyak kritikan terhadap dasar Israel di Gaza, pegawai AS menegaskan bahawa mereka akan terus menyediakan Israel dengan senjata yang diperlukan untuk perang.
Isnin lalu, Jabatan Negara AS berkata, ia menerima jaminan daripada Israel bahawa senjata AS tidak digunakan untuk melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Penilaian itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan penyokong hak asasi Palestin yang menuduh Israel melakukan penderaan berleluasa dan pembunuhan beramai-ramai dalam konflik itu. – ALJAZEERA










