Isu stoking kalimah Allah, Shuib sanggup lepas status duta KK Mart - Utusan Malaysia

Isu stoking kalimah Allah, Shuib sanggup lepas status duta KK Mart

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Sebagai seorang umat Islam saya terkesan dan perkara sebegitu tak sepatutnya berlaku dalam mana-mana bentuk perniagaan atau pun situasi.”

Demikian jawapan pelawak dan usahawan, Shuib berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Super Mart yang tular baru-baru ini.

Jelasnya, sebagai individu beragama islam, kecuaian sehingga menyentuh sensitiviti agama tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana bidang perniagaan.

“Kita akan marah sebab kalimah Allah ini benda yang terlalu besar. Kalau benar, saya tidak akan menyokong.

“Saya tak akan mengiyakan langsung sebab ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam,” katanya yang juga merupakan duta KK Mart.
Shuib ditemui ketika majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media semalam.

Tambah pemilik nama, Shahmira Muhammad itu, dia juga seperti individu beragama Islam lain marah dan menegaskan kalimah Allah pada stoking merupakan penghinaan buat umat dan agama Islam.

“Sejujurnya, memang saya marah ketika isu ini tercetus. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Apa yang terjadi itu sangat keji, ini yang saya boleh cakap.

“Tetapi isu ini masih belum selesai dan siasatan masih dijalankan, jadi saya tidak boleh ulas lanjut kerana melibatkan perniagaan dan juga sensitiviti orang lain.

“Bagaimanapun, saya akan berdiri teguh sebagai seorang umat Islam dan tidak akan sesekali menyokong sesuatu perkara salah,” ujarnya.

Ditanya adakah dia bersedia melepaskan tanggungjawab sebagai duta sekiranya kedai serbaneka itu terbukti bersalah kelak, dia menjawab;

“Saya sentiasa percaya pada konsep rezeki. Jika memang tiada rezeki saya maka tiadalah dan sebaliknya.

“Tetapi macam mana pun saya tetap kena meletakkan prinsip bahawa saya adalah seorang Islam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×