MUNGKIN ada yang skeptikal, sementelah jarang penerbit tempatan kita berani untuk mengetengahkan filem bergenre sukan. Bagi segelintir produser, filem bertemakan sukan mungkin sukar pecah panggung.
Namun persoalan itu menjadi pembakar semangat untuk dua penerbit, Nashrul Nasir dan Alif Nabil yang berani menjadikan sukan dan seni sebagai gabungan dua elemen dalam pembikinan Harimau Malaya: The Untold Journey.
“Pertama sekali, minat. Kami berdua memang peminat tegar bola sepak. Kami pernah menjadi saksi bagaimana prestasi pemain berada di titik terendah sebelum bangkit semula dengan penuh semangat.
“Itu dapat dilihat menerusi keyakinan yang dipamerkan pemain tempatan ketika menentang China dan Korea Selatan baru-baru ini. Semangat itu yang kami pegang untuk berani mempertaruhkan filem bergenre sukan.
“Filem ini memaparkan realiti yang berlaku. Tetapi ada elemen dramatik untuk disesuaikan dalam karya filem. Kami mahu peminat filem dan sukan sama dapat merasai kehangatan naskhah ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kongsi Nashrul, Harimau Malaya: The Untold Journey bakal membawa peminat melayari kisah bermula daripada fasa jurulatih, Tan Cheng Hoe meletak jawatan sehingga bagaimana FAM boleh memilih Kim Pan Gon.
“Kita dedahkan bagaimana proses dan konflik yang berlaku sepanjang proses itu. Memang akan ada babak sensitif seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena kecam susulan prestasi buruk pasukan negara.
“Tetapi jangan hanya melihat dari sudut negatif, sebaliknya lihat aspek lebih positif iaitu peminat sukan mahu FAM perbetulkan keadaan dan pasukan negara kembali bangkit,” katanya.
SKRIN BIRU TERBESAR
Terus berbicara tentang Harimau Malaya: The Untold Journey, penggambaran filem arahan Datuk Afdlin Shauki itu sudah selesai dan ketika ini berada di sesi produksi menyiapkan imej janaan komputer (CGI).
“Menariknya, filem ini memerlukan skrin biru terbesar pernah digunakan, hampir satu padang kami tutup sebab tidak dapat buat penggambaran di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Kami buat penggambaran di Stadium Bola Sepak, Cheras. Tetapi penggunaan CGI tidak terlalu banyak, saya boleh katakan dalam 15 peratus cuma pembikinannya sangat rumit kerana melibatkan aksi.
“Proses penggambaran mengambil masa sebulan yang dilakukan bermula November lepas. Itu juga termasuk penggambaran di London selama seminggu,”katanya.
Harimau Malaya: The Untold Journey menampilkan pelakon baharu dan hebat seperti Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aiman Hakim Redza, Aidil Aziz, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.
Bakal ditayangkan pada Jun depan, Alif berkata, filem terbitan 4ward Pictures Sdn. Bhd.itu mempunyai keunikan dan jalan cerita yang berbeza daripada naskhah bertemakan sukan yang pernah diterbitkan.
“Ola Bola berada di era lain. Lee Chong Wei : Rise of the Legend pula mengenai pemain badminton itu. Filem ini, kita ada elemen penyokong, FAM, konflik pemain dan jurulatih secara menyeluruh.
“Rancangan promosi kami selain siri jelajah, kami akan anjurkan Harimau Malaya Cup untuk peserta di bawah 12 tahun empat zon berbeza selain kempen untuk menjual tiket dan hebahkan mengenai filem ini.
“Sayang kalau tak dipromosikan sebaik mungkin kerana ini adalah agenda negara. Kalau dibuat secara main-main, walaupun kandungan karya itu bagus, tapi tak dipromosikan dengan baik, tak guna juga,” katanya.










