Harimau Malaya kongsi stadium dengan artis

Harimau Malaya kongsi stadium dengan artis

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetap akan dianjurkan konsert dan kekal menjadi gelanggang bola sepak.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetap digunakan sebagai venue untuk menganjurkan konsert artis dalam dan luar negara memandangkan itu adalah cara terbaik bagi menjana sumber pendapatan.

Gelanggang keramat Harimau Malaya itu sering kali mendapat perhatian dan kritikan daripada pelbagai pihak berikutan keadaan permukaan padang terjejas teruk terutamanya selepas mengadakan konsert.

Terbaharu, Malaysia dan Oman tidak dapat menjalani sesi latihan rasmi di stadium tersebut bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berikutan keadaan padang berada dalam keadaan kurang memuaskan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Stadium Nasional Bukit Jalil(SNBJ) merupakan venue terbaik untuk mengadakan konsert apabila ia mempunyai kapasiti tinggi dan hasil keuntungan diperoleh dapat digunakan bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan.

“Seperti saya jelaskan di parlimen, kita tiada pilihan untuk ada dua stadium utama dan sebab itu kita selalu pastikan rumah Harimau Malaya dijaga dengan baik tetapi pada masa sama kena bagi ruang untuk mengadakan konsert.

“Hasil daripada konsert itu semua akan masuk ke akaun PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) dan boleh digunakan untuk menanggung perbelanjaan naik taraf stadium seperti saliran dan sebagainya.

“Jika kita ada dua stadium yang mempunyai kapasiti tinggi, saya pasti tidak akan susah macam ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di ibu negara, semalam.

Dalam pada itu, Hannah turut memberitahu PSM telah mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar rumput dari Australia selepas menganjurkan konsert bagi memastikan keadaan rumput di stadium itu tidak rosak.

“Selepas perlawanan Malaysia menentang Oman (Malaysia tewas 0-2 kepada Oman) kami akan membuat penilaian dan mendapatkan maklum balas daripada pakar rumput kerana saya kena pastikan kerja penambahbaikan sentiasa berjalan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue konsert Coldplay pada 22 November tahun lalu sebelum Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya