Chein-Shiung Wu wanita fizik pertama dunia

Chein-Shiung Wu wanita fizik pertama dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA tertanya-tanya sama ada atom, nukleus kecil, simbol matematik atau molekul DNA mempunyai sebarang keutamaan atau kecenderungan tertentu ketika pesakit lelaki atau wanita menerima rawatan.”

Demikian persoalan dilontarkan oleh Chein-Shiung Wu semasa simposium sains dan teknologi pada Oktober 1964.

Wanita fizik pertama dunia ini kecewa dan meluahkan kekesalan selepas menjadi mangsa diskriminasi jantina.

Eksperimen pentingnya menggunakan kobalt-60, bentuk radioaktif logam kobalt berjaya menafikan hukum pariti iaitu undang-undang mekanik kuantum yang menyatakan dua fizik sistem seperti atom adalah imej cermin yang berkelakukan dalam cara sama.

Namanya dipinggirkan, sebaliknya dua ahli fizik teori lelaki, Tsung-Dao Lee dan Chen Ning Yang yang pernah membantu dirinya menjalankan eksperimen berkenaan dijulang bagaikan hero sehingga memenangi Hadiah Nobel pada 1957.

Wanita ini sedar tentang ketidakadilan dan diskriminasi jantina sehingga menafikan haknya sebagai pemenang utama anugerah berprestij itu.

Nasibnya sama seperti ramai saintis wanita lain di zaman itu.

Bagaimanapun, Wu yang lahir di Shanghai pada 1912 terus mengorak langkah dan mencipta nama dalam bidang fizik sehingga mendapat jolokan ‘Ratu Penyelidikan Nuklear’.

Wu mendapat gelaran profesor di Jabatan Fizik, Universiti Columbia pada 1958, sekali gus menjadi wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi di jabatan berkenaan.

Sebelum itu, wanita ini turut terlibat dalam Projek Manhattan dan membantu ahli fizik, Enrico Fermi menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika itu.

Wu berjaya menemui cara untuk memperkayakan bijih uranium yang menghasilkan sejumlah besar uranium sebagai bahan api untuk bom.

GALAK WANITA CEBURI STEM
Wanita berbangsa Cina yang menetap di Amerika Syarikat (AS) ini adalah penyokong besar yang menggalakkan golongan wanita menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Anak kedua daripada tiga beradik ini kerap memberi syarahan bagi menyokong usaha berkenaan sehingga namanya menjadi contoh teladan bagi
saintis wanita muda.

Wu bertuah kerana dibesarkan dalam keluarga yang sangat menitikberatkan pendidikan.

Pada 1930, Wu berjaya diterima masuk ke institusi pengajian tinggi terkemuka di Nanjing, China dan memilih bidang matematik, sebelum menukar kos fizik di National Central University, dengan meraih ijazah kelas pertama pada 1934.

Selepas bergraduasi, beliau mengajar selama setahun di National Zhejiang University di Hangzhou.

Wanita ini turut bekerja di makmal fizik Academia Sinica dan mengendalikan penyelidikan pertama mengenai kristalografi X-ray (sains yang mengkaji susunan atom dalam pepejal) di bawah pemantauan profesor wanita ketika itu, Dr. Gu.

Gu memberi galakan kepadanya supaya melanjutkan pengajian di University of California di AS pada 1936.

Akhirnya, beliau berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dengan memberi tumpuan kepada topik yang sangat mencabar iaitu produk pembelahan uranium.

Wu berkahwin pada 1940 dengan jejaka Cina dan dikurniakan seorang anak lelaki, Vincent Wei-Cheng Yuan yang turut mengikut jejak langkahnya menjadi saintis nuklear.

Beliau meninggal dunia ketika mencecah usia 84 tahun akibat komplikasi strok di New York pada 1997. -BIOGRAPHY.COM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya