Biskut raya, baju raya dan balik kampung. Tiga perkara ini membawa konotasi kena keluarkan modal. Saya dan suami sudah berbincang mengenainya sejak tahun lalu, selepas menyedari bulan Mac, sesi baharu persekolah dan musim perayaan.
Kuih raya. Tahun ini tidak sama seperti tahun sebelumnya. Dulu saya pilih kuih tunjuk-tunjuk sahaja sebab mudah dan menjimatkan masa.
Namun, disebabkan kos meningkat dan harga biskut sebalang pun agak mahal, usahakanlah membuat biskut raya sendiri.
Antaranya kuih siput, agar-agar kering dan mini popiah. Bahannya pun sangat mudah dan hayat biskut ini juga tahan lama.
Nama-nama biskut-biskut ini memanglah pada awal musim perayaan tidak ada yang pandang, tetapi kalau dekat habis Syawal nanti pasti menjadi rebutan.
Tahun ini kuih tunjuk-tunjuk tidak lagi menjadi keutamaan saya sebab kalau dihitung, kuih cantik dan sedap seperti tart, makmur dan samperit harganya sahaja lebih RM1 sebiji.
Tinjauan sekitar ibu kota dan online mendapati kebanyakan biskut dijual melebihi RM35 hanya untuk 30 biji sebalang berikutan kenaikan bahan seperti tepung gandum, tepung jagung dan badam. Kalau beli setakat sebalang dua, buat lepas merasa, cukuplah.
Anak-anak amat memahami. “Tak mengapa mama, kami pun tak makan sangat biskut raya,”. Lega saya mendengarnya.
Bab baju raya masih menjadi keterujaan anak-anak. Kalau diikutkan jubah yang saya beli di Mekah tempoh hari berwarna kelabu cukup memadai.
Namun, disebabkan kuasa viral dan segala maklumat di hujung jari, masing-masing sudah memikirkan untuk memiliki tiga pilihan warna iaitu pic, merah bata atau jingga.
‘Malangnya’ disebabkan anak buah bakal melangsungkan perkahwinan selepas Aidilfitri mengangkat merah jambu dan biru muda sebagai tema, saya menggunakan kuasa veto untuk hanya membenarnya warna tema ini untuk Aidilfitri tahun ini. Pakai logik. kenapa membeli terlalu banyak baju yang kita tahu biasanya akan dipakai sekali dua, selebihnya terperuk dalam almari?.
Balik kampung makan modal sebab kosnya seperti bercuti di hotel tetapi perkara wajib ini tidak boleh diketepikan, khususnya bagi yang masih ada ibu dan ayah. Adik-beradik kena sepakat kongsi belanja sedikit seorang untuk duit makan. Kalau seorang sahaja penaja, saya risau ia akan menjadi raya terakhir orang yang menaja itu.
Biskut, kuih, baju raya dan balik kampung. Tiga perkara ini membawa konotasi kena keluar modal. Teliti bajet dan buatlah keputusan yang bijak.
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia










