All England: Belum rezeki Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir

All England: Belum rezeki Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir

PEARLY Tan-M. Thinaah gagal mencatat sejarah dalam karier mereka untuk melangkah ke separuh akhir selepas tumpas kepada Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto pada Kejohanan Badminton All England di Arena Birmingham, England.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu No.1 wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah gagal mencatat sejarah dalam karier mereka untuk melangkah ke separuh akhir selepas tumpas kepada Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto pada Kejohanan Badminton All England di Arena Birmingham, England, hari ini.

Dalam aksi suku akhir yang berlanjutan selama lebih sejam itu menyaksikan beregu negara yang menghuni ranking ke-15 dunia tewas kepada pasangan No. 11 dunia dari Jepun dalam pertarungan sengit rubber set 21-11, 18-21, 18-21.

Ini merupakan penyertaan kedua Pearly-Thinaah pada kejohanan berstatus super 1,000 dan mara ke suku akhir merupakan pencapaian terbaik mereka.

Pearly-Thinaah bermula positif apabila mempamerkan persembahan cemerlang untuk memenangi set pertama.

Aksi agresif dengan pukulan yang sukar dibaca lawan, berjaya memerangkap Miyaura-Sakuramoto untuk mereka menutup aksi menerusi kemenangan selesa 11-21.

Namun, untuk dua set berikut, gandingan berpengalaman Jepun itu tidak mudah menyerah kalah apabila kembali memperkemaskan permainan dengan pertahanan yang sangat kental.

Kerap melakukan kesilapan sendiri menerusi pukulan yang sering kali terkandas di jaring telah menghadirkan mata mudah kepada lawan dan sekali gus, menjadi punca kekalahan Pearly-Thinaah.

Bagaimanapun, sekalung tahniah kepada gandingan negara itu yang mempamerkan peningkatan cukup ketara pada All England, selepas dibelenggu kemerosotan prestasi dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Kecederaan Pearly turut mengganggu perjalanan karier beregu wanita terbaik negara itu yang pernah menghuni ranking tertinggi iaitu No. 5 dunia pada awal tahun lalu.

Persembahan positif yang dipamerkan Pearly-Thinaah sekurang-kurangnya memberi petanda baik menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini, yang menyaksikan mereka bakal membuat kemunculan sulung pada temasya empat tahun sekali itu.

Sekalipun tidak menghuni ranking lapan terbaik dunia, namun, status Pearly-Thinaah sebagai beregu wanita No. 1 Malaysia sudah memadai untuk mereka mendapat tiket kelayakan secara automatik ke Olimpik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya