PETALING JAYA: Penyanyi, Aliff Aziz tampil menjelaskan kronologi situasi sebenar yang berlaku selepas berdepan dakwaan terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Jumaat lalu.
Jelas Aliff, dia harus mengambil langkah berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi tersebut kerana takut ada pihak memutar belit fakta yang cuba dihuraikan.
“Pada awal hari kejadian, kami baru selesai menjalani penggambaran. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kami bertolak secara konvoi bersama pembantu peribadi Ruhainies.
“Ruhainies ada maklum, malam itu adik beradiknya ada merancang untuk makan-makan di rumah. Jadi, memandangkan ada adik beradiknya yang lain, saya rasa, tak ada masalah kalau saya turut serta.
“Saya juga memang kenal dan berkawan dengan kakaknya, Risteena dan sudah lama tidak berjumpa jadi saya rasa itu suatu peluang untuk berjumpa dia dan adik beradiknya yang lain untuk makan malam,” katanya.
Aliff menjelaskan, ketika sampai di kondominium, dia membantu untuk membawa barang penggambaran ke atas sementara menunggu kakak Ruhainies yang ketika itu masih dalam perjalanan.
“Cara yang betul adalah, kita sepatutnya tunggu di lobi. Tapi, tak terfikir ‘kekhilafan’ itu akan bawa ke situasi yang tidak dijangka, saya naik ke rumahnya. Ketika kami sedang menunggu Risteena untuk sampai dan berborak, tiba-tiba, pintu rumah diketuk.
“Ruhainies yang pada awalnya menyangka kakaknya sudah sampai, terdengar suara lelaki berbual di luar pintu.
“Kerana risau dan atas faktor keselamatan, dia kemudiannya menghubungi kakaknya dan bertanya sama ada dia dah sampai. Risteena beritahu, jangan buka pintu dulu dan tunggu sehingga dia sampai,” katanya.
Kongsi penyanyi Sayang Sayang itu lagi, dia hanya berada di dalam rumah, di ruang tamu dan situasi itu memang mengejutkan terutama selepas terdapat penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di luar kediaman tersebut.
“Bila kakaknya sampai, dah ada penguat kuasa JAWI dan polis. Bahkan, ketika adik beradiknya sampai, dah ada ramai orang di luar.
“Kemudian, Ruhainies meminta kakaknya berbincang dengan pihak penguat kuasa, pintu akan dibuka sekiranya hanya ada penguat kuasa JAWI dan polis sahaja.
“Mereka sangat profesional dalam melakukan prosedur mereka. Seterusnya, kami hadir ke JAWI dan berikan kenyataan mengikut prosedur yang ditetapkan. Selepas memberi keterangan, kami pulang ke rumah,” katanya.
Dalam pada itu,suami kepada Bella Astillah itu menyerahkan pada orang ramai sama ada mahu mempercayai atau sebalikny dan seikhlas hati memohon maaf atas apa yang berlaku.
“Kenyataan ini adalah saya tulis untuk sesiapa yang ingin mendengar. Bagaimanapun, yang salah tetap salah. Saya bukan nak menegakkan benang yang basah, tetapi, saya ingin memohon maaf atas kekhilafan saya. Namun, ingin saya jelaskan bahawa tidak ada apa-apa benda yang berlaku antara kami.
“Saya anggap ini sebagai ujian yang akan saya jadikan pengajaran dan akan lebih berhati-hati di masa akan datang. Dan disebabkan kekhilafan saya ini, akibatnya bukan sahaja merosakkan reputasi saya, tetapi juga keluarga,” katanya.