MELAKA: Kementerian Pendidikan memberi jaminan pelajar sekolah integriti dan Sekolah Henry Gurney (SHG) di negara ini tidak terpinggir daripada mendapat akses pendidikan terbaik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pelajar tersebut layak mendapat semua bentuk kemudahan dan kaedah pembelajaran mengikut tahap pendidikan serta jenis peperiksaan yang diduduki.
Kata beliau, pelajar juga dijamin mengikuti program khusus untuk meningkatkan literasi dan numerasi dan ditempatkan dalam satu daripada lima kluster iaitu akademi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agama, seni dan budaya serta sukan.
“Pelajar ini tidak dipinggirkan hanya kerana mereka berada di sekolah integriti atau di pusat koreksional. Kita beri jaminan kerana mereka masuk ke sini dengan umur yang masih di bangku persekolahan dan pendidikan tetap menjadi keutamaan.
“Kita mahu anak-anak ini mencipta kejayaan dalam peperiksaan utama. Seperti yang saya katakan ada antara memperoleh 9A, 8A, 7A, 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).
“Jadi kita mengambil pendekatan dan komitmen untuk memastikan pendidikan mereka terus dijamin di bawah pendidikan Malaysia,” katanyaselepas merasmikan Program Hijrah Kasih ke-14 di SHG Telok Mas di sini, semalam.
Sementara itu, Fadlina mengakui, terdapat kekangan jumlah guru yang mengajar di lapan buah sekolah integriti dan tiga SHG di seluruh negara.
Menurutnya, kementerian sedia maklum mengenai masalah tersebut dan akan menambah bilangan guru dari semasa ke semasa.
“Setakat ini kita mempunyai 83 guru di 11 sekolah. Kekurangan itu memang ada tapi kita akan tambah dari semasa ke semasa dan proses ini berlangsung sepanjang tahun,” katanya. –UTUSAN










