KUALA NERUS: Kira-kira 1,000 anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM)
akan digerakkan dalam Ops Bazar Ramadan bagi memantau tahap kebersihan dan kualiti makanan yang dijual di bazar tersebut di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, operasi tersebut juga akan dijalankan secara bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, pasukan operasi KKM itu akan memastikan pengendali makanan di semua bazar Ramadan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Pemantauan makanan di bazar Ramadan akan dilaksanakan di seluruh negara melalui ops bazar Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual pengendali makanan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis perasmian Wellness Hub Terengganu di Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini, hari ini.
Pada masa sama, Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai supaya perhati dan pilih juadah berbuka di gerai yang bersih.
“Pengguna diingatkan untuk perhati dan pilih dan lihat, hidu semasa membeli di Bazar Ramadan,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, pengunjung bazar Ramadan di setiap negeri turut digalakkan mengimbas kod QR bagi mengemukakan aduan berhubung kualiti makanan dan kebersihan di lokasi berkenaan. – UTUSAN










