Waruga: Kutukan Ilmu Hitam rungkai misteri dan persoalan - Utusan Malaysia

Waruga: Kutukan Ilmu Hitam rungkai misteri dan persoalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keunikan adat dan kepercayaan etnik Minahasa di Indonesia telah menarik minat pengarah, Azaromi Ghozali untuk menghasilkan filem seram, Waruga: Kutukan Ilmu Hitam yang akan ditayangkan Februari depan.

Menurut Azaromi, jalan cerita filem tersebut, yang tunjangnya menyentuh tentang kaedah persemadian mayat mengikut kepercayaan etnik berkenaan menarik untuk diceritakan kepada umum.

“Saya ada cerita seram tentang ilmu hitam dan pemujaan mayat. Secara tak langsung ia juga berkait dengan kepercayaan kaum Mihanasa ini.
Jadi saya gabungkan dua idea ini maka terhasilnya filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.

“Filem ini menceritakan tentang ilmu hitam dan pemujaan untuk membangkitkan jasad orang yang telah mati.

“Tajuk Waruga ini dipilih sebagai simbolik dan inspirasi kepada upacara kelahiran semula mengikut kepercayaan etnik tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Filem ini mengisahkan tentang penuntut ilmu perubatan tradisional iaitu Rewan yang tidak dapat menerima kematian isterinya.

Rewan merayu kepada guru perubatannya, Mbah Usu Lijah membangkitkan jasad isterinya berpandukan kitab keturunan kaum Mihanasa.

Mbah Usu Lijah bagaimanapun menolak permintaan tersebut kerana Rewan bukan dari keturunan Minahasa dan perlu melalui fasa tertentu sekiranya berdegil dengan keinginannya untuk membangkitkan jasad isterinya.

Gara-gara gagal mengawal kesabaran, Rewan membunuh Mbah Usu Lijah dan mencuri kitab tersebut.

Sebelum semua kejadian ini berlaku, Rewan mengarahkan anak tunggalnya, Yamin meninggalkan kampung bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku kepadanya.

Selepas 10 tahun, Yamin menikahi seorang gadis bernama Ardila. Dia merahsiakan tentang keluarganya dengan menyatakan ayah dan ibunya telah lama meninggal dunia.

Waruga: Kutukan Ilmu Hitam dibintangi barisan pelakon popular seperti Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Adik Putri Amirah Maisara dan Adik Syed Irfan.

Filem ini bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula 15 Februari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN