Telur rendah dalam ovari sukarkan wanita hamil

Telur rendah dalam ovari sukarkan wanita hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITARAN haid normal dan mengamalkan gaya hidup sihat, namun masih ada segelintir wanita sukar hamil walaupun usia perkahwinan sudahpun melebihi setahun.

Jika dibanding dengan saudara-mara dan rakan lain, rata-ratanya sudah menimang cahaya mata atau bunting pelamin.

Pakar Kesuburan dan Sakit Puan Metro IVF, Dr. Chooi Kar Yoke berkata, situasi itu berlaku disebabkan ketidakstabilan ovari utama (POI).

Katanya, ketidakstabilan ovari utama merujuk kepada jumlah telur yang rendah dalam ovari hingga organ itu gagal berfungsi lebih awal daripada kebiasaan.

“Sebenarnya POI jarang berlaku atau dengan hanya 1 dalam 1,000 wanita berusia 15 hingga 29 tahun dikesan berisiko mengalaminya, diikuti 1 dalam 100 wanita bagi kumpulan umur 30 hingga 39 tahun.

“Bagaimanapun, kajian terbaharu Amerika Utara mendapati kes POI melonjak sehingga 12 peratus sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan wanita muda berhubung isu kesuburan atau sukar hamil,” katanya.

Ovari adalah kelenjar kecil yang terletak di kedua-dua belah rahim bagi menghasil dan mengeluarkan telur semasa ovulasi.

Ovari turut membuat hormon penting untuk haid, kehamilan dan fungsi badan lain.

KESUBURAN MENURUN
Dr. Chooi berkata, kesuburan wanita lazimnya semakin menurun setelah berusia 40 tahun dengan haid mula tidak teratur apabila berubah ke fasa menopaus.

Namun, lain bagi pesakit POI yang bakal berdepan kadar kesuburan rendah sebelum mencapai usia tersebut.

Bahkan, katanya, keadaan itu juga boleh bermula sejak usia seawal remaja lagi.

“Wanita berisiko mengalami POI jika ada sejarah keluarga daripada ibu atau adik beradik lain di samping faktor genetik seperti sindrom Fragile X dan Turner, penyakit autoimun seperti tiroid dan Addison, kemoterapi atau terapi radiasi, gangguan metabolik diikuti pendedahan kepada toksin seperti asap rokok, bahan kimia dan racun perosak,” katanya.


HAID TIDAK TERATUR

Tanda POI paling biasa ialah haid tidak teratur, tetapi ada juga pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala ketara.

Gejala lain ialah sukar hamil, kurang keinginan untuk melakukan hubungan seksual, faraj kering, sukar menumpukan perhatian di samping badan dan muka terasa panas, terutama sebelah malam.

Dr. Chooi berkata, POI turut menyebabkan tahap estrogen wanita menjadi rendah.

Yang mana kehilangan estrogen boleh memberi kesan sampingan sama seperti menopaus iaitu panas pada bahagian muka dan tubuh, penurunan keinginan seks dan perubahan mood.

Perubahan itu turut menyebabkan risiko untuk mendapat osteoporosis, penyakit jantung dan penyakit lain juga tinggi.

UJIAN DAN DIAGNOSIS
Beberapa pemeriksaan fizikal dan pelvis akan dilakukan di samping mengambil sejarah kesihatan seperti kitaran haid pesakit.

Ujian darah turut dibuat bagi membantu mengenal pasti tahap hormon tertentu dalam badan.

Antara jenis ujian itu ialah Anti Mullerian Hormon (AMH) yang berfungsi mengesan jumlah telur yang masih ada di dalam ovari.

“Ujian ini dalam masa sama dapat membantu menentukan sukatan ubatan yang diperlukan jika pesakit menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

“Ujian lain ialah ujian karyotype, untuk menentukan jika pesakit mempunyai penyakit berkaitan keturunan atau faktor genetik, ultrasound pelvis dan antibodi,” katanya.

TIADA RAWATAN KHUSUS
Ketika ini, tiada rawatan khusus yang terbukti dapat memulihkan fungsi normal ovari wanita.

Namun, kata Dr. Chooi, antara inisiatif boleh dijalani pesakit ialah terapi penggantian hormon (HRT) menerusi pemberian estrogen dan hormon lain.

Ujarnya, HRT dapat meningkatkan kesihatan seksual sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung dan osteoporosis.

“Pengambilan HRT adalah sehingga umur 50 tahun, kerana ketika itu lazimnya menopaus bermula.

“Kaedah lain ialah pengambilan kalsium dan vitamin D setiap hari dan sekiranya pesakit ingin hamil, boleh pertimbangkan mencuba kaedah IVF,” katanya.

Sementara itu, ujarnya POI tidak boleh dicegah, namun golongan berisiko tinggi boleh memilih meneruskan rawatan kesuburan dengan merujuk kepada pakar kesuburan jika mahu mendapatkan zuriat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN