Promosi rancak, harga menarik ramailah orang berkunjung

Promosi rancak, harga menarik ramailah orang berkunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lama saya tidak ke Hat Yai tetapi sejak tular mengenai keseronokan percutian ke sana, saya carilah maklumat yang ada di media sosial.

Mendengar pengalaman kawan-kawan sahaja tentu tidak lengkap tanpa melihat melalui rakaman videonya,
pada zaman segala-galanya bergantung kepada media sosial ini.

Biarpun orang kata maklumat di media sosial, banyak yang tersedia hanya dilakukan atas sebab konten semata-mata tetapi saya percaya tidak semuanya begitu.

Sudah pasti banyak yang tulus berkongsi pengalaman.

Begitupun dalam banyak perkongsian video, mata saya tertarik menyelusuri video insan terkenal Khairul Amin Kamarulzaman (@khairulaming) yang mempunyai lebih 4.1 juta pengikut ini.

Video berdurasi 4 minit 25 saat yang dimuatnaik tahun lepas itu, berjaya meraih 4.4 juta tontonan dengan 85,000 share.

Walaupun makanan yang ditunjukkan di dalam video berkenaan, rasanya mudah didapati dalam negara.

Maka tak hairanlah bila aliran keluar ringgit kita ke sana berjuta nilainya, dek promosi dibawakan personaliti media sosial. Memang menggamit rasa nak terbang Hat Yai.

Orang kita, jenis mudah tertawan dengan keindahan dan keseronokan sesuatu lokasi. Cepat sahaja kita mahu melihatnya dan merasai pengalaman itu.

Lebih-lebih lagi ia ditawarkan pada harga mampu milik dan berpatutan.

Tahun Melawat Malaysia ditetapkan semula pada 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik RM97.6 bilion.

Merealisasikan sasaran itu, kerajaan memperuntukkan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

Perdana Menteri, dilaporkan berkata, antaranya aktiviti dilakukan termasuklah berkerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara.

Ada juga bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya, geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia dan dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia.

Dalam merangka strategi, tarikan baharu mesti ada juga supaya pengguna tidak jemu.

Mengenai kos, saya kira harga yang bakal dibayar isi rumah seperti saya pun, kenalah ambil kira sebab golongan pertengahan inilah yang suka makan angin tetapi dalam bajet tertentu.

Janganlah pula harga barangan dan perkhidmatan ditawarkan, keterlaluan hingga kita rasa takut nak berbelanja.

Ini tidak, asal sahaja masuk musim cuti sekolah dan musim perayaan, semua barangan tiba-tiba naik harga.

-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN