Projek LRT: MRT Corp sudah beri maklum balas - Chow Kon Yeow

Projek LRT: MRT Corp sudah beri maklum balas – Chow Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (duduk, lima kiri) ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. UTUSAN / SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Syarikat pengangkutan awam, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) ketika ini dilaporkan sudah memberi maklum balas kepada kerajaan negeri berhubung kajian pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun, pihaknya perlu membentangkan kertas kerja berhubung pembinaan projek itu kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum langkah selanjutnya boleh diambil.

“Pihak MRT Corp sebenarnya telah berada di sini (Pulau Pinang) sejak beberapa minggu lepas untuk memberi maklum balas berhubung kajian berkaitan projek LRT itu.

“Mereka (MRT Corp) juga sudah membentang dan memberi maklum balas akan kedudukan terkini berhubung usaha yang telah dijalankan. 

“Pada masa yang sama, mereka juga ada maklumkan bahawa pembentangan kertas kerja (daripada) Kabinet perlu untuk mendapat ‘lampu hijau’ (kelulusan) daripada Jemaah Menteri bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil mengikut perancangan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran DAP negeri di Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan projek itu, Kon Yeow berkata, pihaknya turut berkongsi pandangan menerusi sesi perbincangan yang sudah dijalankan sebelum ini.

“Sebelum ini, kita sudah umumkan bahawa MRT Corp telah melantik perunding untuk membuat kajian berhubung jajaran projek LRT yang disempurnakan oleh SRS Consortium Sdn. Bhd. dan Januari lalu, rakan pelaksana projek (PDP) kerajaan negeri pula memberi kata putus dan reaksi terhadap jajaran yang kita sudah cadangkan.

“Justeru, semua perincian ini termasuk lokasi depoh dan sebagainya akan dimasukkan ke dalam kertas kerja bagi membolehkan kita memperoleh hala tuju yang seterusnya,” katanya.

Tambah Kon Yeow, ketika ini, terdapat perubahan rancangan susulan stesen yang sepatutnya berakhir di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) telah dipanjangkan sehingga ke Penang Sentral di Butterworth.

“Kelainan itu ada sebab kerana cadangan asal kita (stesen LRT) berakhir di Komtar, tapi MET Corp bawa ‘line’ (rangkaian) itu ke Penang Sentral, kiranya itu tambahan dan ia juga akan merentasi laut. Jadi. kita akan perhalusi serta mengambil kira isu-isu teknikal bagi memastikan pembinaan berjalan lancar,” katanya.

Januari lalu, media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk dibentangkan ke Kabinet bagi tujuan memperoleh kelulusan pelaksanaan projek berkenaan di Pulau Pinang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×