GAZA CITY: Peperangan di Gaza sejak 7 Oktober lalu disifatkan lebih teruk daripada tragedi Nakba pada 1948.
The Palestine Chronicle bercakap dengan dua penduduk Palestin di Nuseirat dan Bureij yang menjelaskan perasaan putus asa mereka dalam menghadapi kemusnahan yang dibuat oleh tentera Israel.
Menurut penduduk, Hajjah Wafa al-Taweel, pendudukan itu mengubah geografi kem pelarian Nuseirat.
Dari pintu masuk kem, katanya, dia dapat melihat dengan jelas kem Bureij dan Maghazi serta melihat kemusnahan di mana-mana.
Jelasnya, Israel mengebom berpuluh-puluh rumah, merobohkannya dan menolak penduduk untuk berhijrah.
“Kami berasa bahawa seluruh kawasan itu bertukar menjadi padang pasir yang luas. Kami berjalan melalui kem seolah-olah kami memasukinya buat kali pertama. Kemusnahannya sangat besar dan banyak rumah hilang.
“Ini adalah Nakba baharu, lebih keras daripada malapetaka pertama Palestin.”
“Semasa pencerobohan mereka ke atas kem pelarian Bureij, tentera Israel memusnahkan banyak kawasan kejiranan, menggali rumah yang dirobohkan, mengalihkan runtuhan, dan meletakkannya di tempat lain,” keluh al-Taweel.
Seorang lagi penduduk, Dr. Yunis Ya’qoub berkata, padang pasir dengan bangunan yang musnah, inilah yang tentera Israel tinggalkan.
Katanya, jalan raya berubah dan seluruh kawasan menjadi padang pasir terutamanya kawasan selatan kem Bureij.
“Saya mempunyai sebidang tanah di selatan kem Bureij. Apabila saya pergi ke sana, berikutan pengunduran Israel, saya tidak dapat mengesannya dengan tepat kerana semuanya musnah, dan semuanya telah digali.
Tiada mercu tanda yang jelas untuk kawasan itu, hanya kemusnahan dan kesan yang ditinggalkan oleh kenderaan tentera Israel,” katanya.










