THE HAGUE: Israel mesti menamatkan pendudukan kejamnya di Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur, kata kumpulan hak asasi Amnesty International (Amnesty) dalam pendengaran awam yang bermula di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kelmarin.
Setiausaha Agung Amnesty, Agnes Callamard berhujah, dunia mesti menyedari bahawa menamatkan pendudukan haram Israel adalah prasyarat untuk menghentikan pelanggaran hak asasi manusia yang berulang di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki.
PALING MAUT DI DUNIA
Callamard menegaskan, pendudukan Israel di Palestin adalah yang paling lama dan salah satu pendudukan ketenteraan yang paling maut di dunia.
Katanya, ia dicirikan pencabulan hak asasi manusia yang meluas dan sistematik terhadap rakyat Palestin.
Callamard menambah bahawa pendudukan itu juga memboleh_kan dan mengukuhkan sistem aparteid Israel yang dikenakan ke atas rakyat Palestin.
“Dunia mesti mengakui bahawa menamatkan pendudukan haram Israel adalah prasyarat untuk menghentikan pelanggaran hak asasi manusia yang berulang di Israel dan di wilayah Palestin yang diduduki,” hujahnya.
Perbicaraan awam itu berlangsung dari 19 sehingga 26 Februari ini selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerima pakai resolusi pada Disember 2022.
Resolusi UNGA 77/247 akan meminta nasihat daripada ICJ tentang kesahihan dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki dan akibat daripada kelakuan Israel terhadap negara lain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
PROSIDING LIBATKAN 50 NEGARA
Lebih 50 negara terdiri daripada Kesatuan Afrika, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam dijadualkan mengambil bahagian dalam prosiding itu termasuk Malaysia.
Malaysia yang diwakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyampaikan pendirian dan pandangan mengenai pendudukan Israel di wilayah Palestin, Jumaat ini.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 29,092 rakyat Palestin terbunuh dan 69,028 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu.
Sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan, dianggap mati di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Gaza.
Pertubuhan Palestin dan antarabangsa mengatakan bahawa majoriti yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak.
Pencerobohan Israel juga mengakibatkan hampir dua juta orang dipindahkan secara paksa dari seluruh Gaza dengan sebahagian besar pelarian terpaksa masuk ke bandar selatan Rafah yang padat padat berhampiran sempadan dengan Mesir.
Perpindahan itu menjadi terbesar di Palestin dan merupakan penghijrahan beramai-ramai sejak Perjanjian Nakba 1948. – AGENSI










