Pekerja kewangan ditipu AS$25.6 juta

Teknologi AI: Pekerja kewangan ditipu AS$25.6 juta

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Seorang pekerja kewangan dari sebuah firma multinasional ditipu untuk membayar AS$25 juta (RM120.8 juta) kepada penjenayah yang menggunakan teknologi palsu (deepfake) kecerdasan buatan (AI) untuk menyamar sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat itu dalam satu panggilan sidang video.

Lapor CNN, menurut Penguasa Kanan Polis Hong Kong, Chan Shun-ching, pekerja itu ditipu untuk menghadiri panggilan video yang disangkakan disertai beberapa kakitangan lain, tetapi kesemuanya palsu.

“Dalam persidangan video berbilang individu, ternyata semua orang yang dilihatnya itu adalah palsu,” katanya.

Shun-ching berkata, pekerja itu mula curiga selepas dia menerima mesej yang kononnya daripada CFO syarikat yang berpangkalan di United Kingdom.

Pada mulanya, katanya, pekerja itu mengesyaki ia adalah emel pancingan data kerana ia bercakap tentang keperluan untuk menjalankan transaksi rahsia.

Bagaimanapun, kata Shun-ching, pekerja itu tidak meragui terhadap panggilan video itu kerana orang lain kelihatan dan terdengar seperti rakan sekerja yang dikenalinya.

Tambahnya, oleh kerana percaya bahawa orang lain dalam panggilan itu adalah benar, pekerja tersebut bersetuju untuk menghantar sejumlah HK$200 juta bersamaan AS$25.6 juta.

Penipuan yang melibatkan CFO palsu hanya diketahui apabila pekerja itu kemudiannya menyemak dengan ibu pejabat firma tersebut.

Kes itu merupakan satu daripada beberapa episod di mana penipu dipercayai menggunakan teknologi ‘deepfake’ untuk mengubah suai video yang tersedia secara umum dan rakaman lain untuk menipu orang ramai menjalankan transaksi tunai.

Pada sidang akhbar pada hari Jumaat lalu, polis Hong Kong berkata, mereka membuat enam tangkapan berkaitan penipuan tersebut.

Shun-ching berkata, lapan kad pengenalan Hong Kong yang dicuri, kesemuanya dilaporkan hilang oleh pemiliknya digunakan untuk membuat 90 permohonan pinjaman dan 54 pendaftaran akaun bank antara Julai dan September tahun lepas.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 20 kali, AI deepfakes digunakan untuk menipu program pengecaman muka dengan meniru orang yang digambarkan pada kad pengenalan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN