Doktor Palestin kongsi kisah didera tentera Israel selama 45 hari

Doktor Palestin kongsi kisah didera tentera Israel selama 45 hari

SAID Abdulrahman Maarouf menitiskan air mata ketika berkongsi kisahnya didera tentera Israel.-REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAFAH: Seorang doktor rakyat Palestin berkongsi mengenai detik hitam dirinya ditahan selama 45 hari dan diseksa oleh tentera Israel selepas serbuan dibuat di sebuah hospital di Gaza.

Sepanjang dirinya ditahan, dia berdepan dengan beberapa siri seksaan selain terpaksa melalui masalah kurang tidur sebelum dibebaskan minggu lalu.

Said Abdulrahman Maa­rouf bekerja di hospital al-Ahli al-Arab di Kota Gaza apabila ia dikepung oleh tentera Israel pada Disember tahun lalu.

Dia menggambarkan tangannya digari, kakinya diikat dan matanya ditutup selama hampir tujuh minggu dipenjarakan.

Katanya, dia disuruh tidur di tempat yang dilitupi batu kerikil tanpa tilam, bantal atau sarung dengan alunan muzik yang kuat.

“Penyiksaan itu sangat teruk di penjara Israel. Saya seorang doktor. Berat saya 87 kilogram. Dalam 45 hari, berat saya turun lebih 25 kilogram. Saya hilang keseimbangan. Saya hilang fokus. Saya hilang semua perasaan.

“Bagaimanapun penderitaan dan penghinaan di penjara tidak akan dapat diketahui realitinya melainkan anda menjalaninya sendiri,” tambahnya.

Said Abdulrahman berkata, dia tidak tahu di mana dia ditahan kerana matanya ditutup sepanjang penahanannya dan dia tidak pasti sama ada dia ditahan di dalam atau di luar Gaza.

Semasa dibebaskan, dia dijatuhkan di persimpangan Ke­rem Shalom dan dijemput oleh Palang Merah.

Said Abdulrahman memberitahu, selepas ditahan, dia tidak tahu mengenai kedudukan ahli keluarganya sama ada terselamat atau tidak daripada sera­ngan tentera Israel yang mara ke Bandar Gaza.

Peperangan bermula apabila pejuang Hamas merentasi sempadan ke bandar-bandar Israel pada 7 Oktober lalu membunuh lebih 1,200 orang kebanyakannya orang awam dan merampas 240 tebusan.

Serangan tentera Israel bermula pada hari yang sama dengan pengeboman dari udara diikuti serangan darat yang berterusan selama berbulan-bulan.

Pihak berkuasa kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, serangan Israel membunuh lebih 27,000 rakyat Pa­lestin.

Selain hospital, Israel berkata, Hamas secara rutin menggunakan kemudahan perubatan lain termasuk ambulans untuk operasi ketenteraan dan mempunyai bukti terowong dan beberapa senjata di beberapa kemudahan.

Said Abdulrahman turut menahan sebak ketika mengimbas kembali perbualan telefon terakhir dengan anak perem­puannya sewaktu tentera Israel menggunakan pembesar suara supaya semua doktor dan kakitangan perubatan meninggalkan bangunan hospital.

Dia percaya ditahan bersama lebih 100 banduan di tempat yang sama.

“Setiap daripada kami mengharapkan kematian, ingin mati daripada seksa penderitaan.

“Saya seorang pakar pediatrik yang bekerja selama 23 tahun dalam bidang ini. Saya tidak melakukan sebarang jenayah kemanusiaan. Senjata saya adalah pen, buku nota dan stetoskop. Saya tidak meninggalkan tempat itu.

Saya sedang merawat kanak-kanak di dalam hospital,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×