BAITULMUQADDIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa kebuluran sedang membelenggu Gaza ketika agensi bantuan bergelut untuk menghantar makanan ke utara kawasan terkepung itu.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, bantuan kemanusiaan dilaporkan tidak sampai kepada orang ramai di utara Gaza selama lebih sebulan.
“Kali terakhir UNRWA dapat menyampaikan bantuan makanan ke utara Gaza adalah pada 23 Januari lalu,” tulis Lazzarini dalam media sosial.
Agensi bantuan itu mendakwa Israel menyebabkan penangguhan penghantaran berkenaan.
Tel Aviv bagaimanapun menafikan pertuduhan itu ketika ia bersedia untuk melaporkan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai langkah yang diambil untuk mengelakkan penderitaan di kawasan yang terkepung tersebut.
Lazzarini berkata, seruan untuk membenarkan pengagihan makanan di Gaza di tengah-tengah permusuhan yang berterusan antara Israel dan Hamas dinafikan.
Pegawai PBB itu berkata, keadaan itu kini menjadi bencana buatan manusia.
Sekurang-kurangnya 500,000 orang menghadapi kebuluran manakala hampir keseluruhan penduduk Gaza, 2.3 juta orang mengalami kekurangan makanan yang teruk, angka dari Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Ahad lalu, seorang budak lelaki Palestin berusia dua bulan meninggal dunia akibat kelaparan.
Israel yang mengawal lintasan sempadan Gaza membuka hanya satu pintu masuk ke dalam kawasan terkepung itu sejak permulaan perang dan mengenakan prosedur pemeriksaan yang tidak berkesudahan untuk trak melaluinya, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penunjuk perasaan Israel berhaluan kanan juga menyekat konvoi bantuan di pintu masuk Karem Abu Salem dikenali sebagai Kerem Shalom oleh Israel ke selatan Gaza dengan mengatakan rakyat Palestin tidak seharusnya diberi bantuan.
Sejak 9 Februari lalu, purata bilangan trak yang memasuki Gaza setiap hari adalah kira-kira 55 buah berbanding 500 yang biasa masuk sebelum konflik bermula, menurut OCHA.
Agensi itu melaporkan bahawa aliran berkurangan dengan ketara dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Pegawai polis Palestin berhenti menyediakan pengiring selepas sekurang-kurangnya lapan daripada mereka terbunuh dalam serangan Israel di selatan Rafah, menurut pegawai UNRWA dan Amerika Syarikat (AS).
Ini mendorong orang lain untuk meninggalkan jawatan mereka, membuka jalan kepada kerosakan dalam perintah awam.
Minggu lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) mengumumkan penggantungan penghantaran bantuan ke utara Gaza selepas orang ramai yang kelaparan melucutkan barangan dan memukul seorang pemandu.
Konvoi juga berdepan tembakan dengan video yang disahkan dalam media sosial menunjukkan rakyat Palestin melarikan diri untuk berlindung di tengah-tengah bunyi tembakan dan kepulan asap daripada bom asap.
Kekurangan bantuan Israel menyukarkan lagi penghantaran, kata agensi PBB. – AL JAZEERA










