RAFAH: Israel dilaporkan menyerang Rafah dengan membedil bom sehingga meratakan sebuah masjid dan memusnahkan rumah penduduk pada waktu malam.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, 97 orang disahkan terbunuh dan 130 cedera dalam 24 jam terakhir serangan Israel, tetapi kebanyakan mangsa masih di bawah runtuhan atau di kawasan yang tidak dapat dicapai oleh penyelamat.
Sewaktu kejadian, Ketua Hamas dikatakan berada di Kaherah untuk mengadakan rundingan yang diharapkan oleh rakyat Gaza supaya dapat membawa gencatan senjata tepat pada masanya bagi menghentikan serangan penuh ke atas bandar itu.
Selepas serangan, tujuh mayat dikatakan diletakkan di dalam beg mayat, dibaringkan di atas batu di luar bilik mayat di bandar itu yang bertentangan dengan sempadan Mesir.
Menurut ahli keluarga mangsa yang terlibat, Dina al-Shaer, abangnya dan keluarganya terbunuh dalam satu serangan selepas tengah malam.
“Mereka mengambil orang yang saya sayangi, mereka mengambil hati saya,” katanya yang turut menangis.
Masjid al-Farouk Rafah diratakan menjadi kepingan konkrit, bangunan bersebelahan hancur lebur.
Pihak berkuasa berkata, empat rumah dibedil di selatan bandar dan tiga buah rumah lagi di bahagian tengah Rafah.
Penduduk berkata, pengeboman itu adalah yang paling berat sejak serbuan Israel ke atas bandar itu sepuluh hari lalu yang membebaskan dua tebusan dan membunuh ramai orang awam.
“Kami tidak boleh tidur, bunyi letupan dan pesawat menderu di atas kepala tidak berhenti,”
“Kami dapat mendengar kanak-kanak menangis di dalam khemah berdekatan, orang di sini terdesak dan tidak berdaya,” kata Jehad Abuemad, 34, yang tinggal bersama keluarganya di dalam khemah.
Di utara Rafah, asap berkepul-kepul di langit di atas Khan Younis, medan perang utama wilayah itu sejak Israel melancarkan serangan di sana bulan lalu.
Pihak berkuasa Gaza berkata, sekurang-kurangnya 20 orang turut terbunuh oleh pengeboman melibatkan dua buah rumah di bahagian tengah Gaza, satu-satunya kawasan besar lain yang masih belum diserang oleh tentera Israel.
Israel melancarkan kempennya di Gaza selepas militan Hamas yang menguasai wilayah itu menyerbu melalui bandar Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh 1,200 orang dan merampas 253 tebusan.
Sejak itu, hampir 30,000 orang disahkan terbunuh di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan, dengan beribu-ribu lagi dikhuatiri maut, tidak ditemui di bawah runtuhan. -REUTERS










