MARANG: Sebanyak 539,000 pengguna direkodkan mengunjungi 445 sesi program Jualan Rahmah yang dilaksanakan di Terengganu pada tahun lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata,
jumlah jualan keseluruhan yang dicatatkan dalam program tersebut melebihi RM19.5 juta.
“Angka jumlah jualan ini dapat memberi gambaran, PJR mendapat sambutan menggalakkan, pengurangan harga sehingga 30 peratus terbukti membantu pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah.
“Secara tidak langsung juga telah minimakan runggutan pengguna, seluruh masyarakat dapat manfaat. Program dilaksanakan berjadual, dua kali sebulan di setiap Parlimen secara premis dan terbuka serta bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Wakaf Tapai, dekat sini, hari ini.
SHMMP kali ini diadakan selama sembilan hari bermula semalam melibatkan 11 jenis barangan telah diwartakan seperti udang putih, ikan bawal putih, ubi kentang import, halia tua import, lobak merah serta daging babi.
Selain itu, Saharuddin memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan harga barangan pada musim tengkujuh kali ini seperti mana tahun-tahun sebelumnya.
Saharuddin berkata, ia hasil pelbagai usaha kerajaan termasuk program Jualan Rahmah yang diadakan di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
“Memang kebiasaan setiap kali musim tengkujuh kita akan terima pelbagai rungutan dan aduan daripada pengguna mengenai harga ikan, sayur dan barangan makanan yang mahal.
“Tetapi musim tengkujuh kali ini yang bermula November lalu hingga ke hari ini, kita tidak terima rungutan dan aduan yang mengatakan ikan atau sayur mahal seperti sebelumnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN Terengganu berharap semua pihak dapat patuhi harga ditetapkan serta menggunakan label merah jambu bagi barangan tersebut dan peniaga berdepan tindakan tegas jika gagal patuhi peraturan. – UTUSAN










