VINA DEL MAR: Kebakaran hutan di seluruh Chile semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 46 orang.
Presiden Chile, Gabriel Boric menetapkan keadaan darurat di bahagian tengah dan selatan negara itu akibat kebakaran yang dianggap malapetaka berkenaan.
Katanya, kebakaran berlaku kerana keadaan kering dan suhu yang meningkat sehingga 40 darjah Celsius memburukkan lagi krisis.
“Terdapat 40 orang terbunuh dalam kebakaran itu dan enam lagi (yang maut) akibat melecur.
“Kami tahu bahawa bilangan penduduk yang maut akan meningkat.
“Kami akan berada di sana sebagai kerajaan untuk membantu mereka bangun semula (berdiri),” kata Boric selepas meninjau kawasan terjejas melalui helikopter petang semalam.
Asap kelabu tebal menyelubungi kawasan Vina del Mar di wilayah pelancongan Valparaiso, di sepanjang pantai tengah Chile memaksa penduduk meninggalkan rumah mereka.
Pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung bermula 9 malam semalam untuk membenarkan bekalan kecemasan terutama bahan api ke kawasan yang terjejas.
Arahan pemindahan baharu dikeluarkan walaupun masih tidak jelas berapa ramai orang diberitahu untuk evakuasi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Chile, Carolina Toha berkata, terdapat 92 kebakaran setakat tengah hari dengan 43,000 hektar terbakar di seluruh negara itu.
Anggota bomba masih memadamkan 29 kebakaran menjelang tengah hari manakala 40 berjaya dikawal.
Di lereng bukit di sekitar bandar pantai Vina del Mar, keseluruhan blok rumah terbakar dan beribu-ribu orang dipindahkan.
Mereka kembali ke kediaman masing-masing dan mendapati rumah mereka musnah.
Beberapa penduduk yang mati dilihat terbaring di atas jalan dan ditutup dengan cadar.
Kawasan itu, kira-kira 1.5 jam barat laut ibu kota Santiago, merupakan destinasi pelancongan yang popular pada musim panas.
Wilayah pantai juga penting untuk industri wain, pertanian dan pembalakan negara.
Di bandar Estrella dan Navidad, barat daya ibu negara, kebakaran hampir memusnahkan 30 buah rumah dan memaksa pemindahan penduduk ke kawasan berhampiran pusat peranginan di Pichilemu.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu,” kata penduduk, Yvonne Guzman yang berusia 63 tahun kepada AFP.
Apabila api mula menutup rumahnya di Quilpue, dia melarikan diri bersama ibunya yang sudah tua dan terperangkap dalam lalu lintas selama berjam-jam.
“Ia sangat menyedihkan kerana kami mengosongkan rumah itu, tetapi kami tidak boleh bergerak ke hadapan. Semua orang cuba keluar serentak dan ada yang tidak boleh bergerak,” katanya.
Datuk Bandar Vina del Mar Macarena Ripamonti berkata, pihaknya sedang menghadapi malapetaka yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, situasi sebesar ini tidak pernah berlaku di wilayah Valparaiso.-AFP










