Usahawan wanita perlu bijak ‘hidu’ potensi

Usahawan wanita perlu bijak ‘hidu’ potensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGAYAAN tudung ala turban dicetuskan penyanyi terkenal Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna sekitar 2013 dulu, pernah menimbulkan pertikaian umum yang dikaitkan sebagai kurang sesuai dengan pemakaian muslimah.

Namun, Echenta Fadzil, 40, melihatnya daripada sudut berbeza.

Di matanya, turban itu suatu pernyataan gaya yang berpotensi untuk dikomersialkan ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya ‘kena gaya’.

Hari ini, percaturan pengasas dan pemilik Ilham Echenta itu ‘melawan arus’ berjaya membuka dimensi baru dalam dunia fesyen hijab tanah air.

“Kalau saya tidak melihat potensi turban, mungkin hidup saya mendatar atau sama saja macam 15 tahun lepas.

“Sebab itu usahawan wanita perlu berani dan cepat bertindak apabila ilham datang, jika lambat, peluang akan berlalu sebegitu sahaja,” katanya ketika ditemui di butiknya di Cyberjaya baru baru ini.


Beliau yang anggun menggayakan kot trench coklat sedondon dengan skirt rona sama berkata, di peringkat awal penglibatannya, kesemua 50 tempahan awa itu dijahit sendiri walaupun tiada kepakaran dalam bidang jahitan.

Kecekalan dan keberanian Echenta membuahkan hasil apabila jenama yang diasaskan sejak 2011 itu memasuki pasaran rantau Asia, Asia Barat dan
Eropah di samping negara yang jarang didengari seperti Reunion Island

Malah, berpeluang menganjurkan pertunjukan fesyen di Singapura pada 2016 di samping bekerjasama dengan platform dalam talian seperti Zalora.

Aksesori kepala dengan sentuhan moden, minimalis dan kemas itu turut menjadi pilihan selebriti popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Fasha Sandha, Datin Alyah dan terbaharu, Noryn Aziz.

Di sebalik pemakaian serkup moden ini, kecaman tetap ada dek pengayaan turban yang dikaitkan dengan tidak patuh syariah.

Namun, pengasas turban instant pertama negara ini mengakui, berbanding orang lain yang menerima kecaman kerana memakai turban, tetapi produknya tidak begitu terkena tempias.

“Mungkin kerana produk saya dipadankan dengan busana yang tidak terdedah atau daring sekali gus membolehkan ia kekal diminati di seluruh dunia hingga kini.

“Secara tidak langsung, saya juga dapat mengajak bukan Islam untuk menutup kepala menerusi pemakaian turban,” katanya.

Ringkas tapi stylo
Untuk kekal dalam industri, usahawan perlu berinovasi, biarpun dalam segmen sama.

Kelebihan itu sekali gus membezakan produk Ilham Echenta dengan pesaing kerana memiliki rekaan, potongan dan lipatan khas.

“Apabila kita tampilkan produk seperti turban ini contohnya, rekaan harus berbeza, barangkali lebih istimewa terutama dari segi potongan dan kemasan.

“Dalam masa sama, pemilihan fabrik bersesuaian juga penting kerana kebanyakan pelanggan mahukan turban yang ringkas dan senang dipakai,” katanya.

Latar belakang dalam bidang multimedia di samping minat mendalam pada fesyen menjado bonus dalam memudahkan wanita ini membuat rekaan turban.

Wanita jangan malas melaram
Personaliti menarik kaum hawa tidak akan bersinar dan menyerlah jika penampilan mereka nampak lusuh setiap masa.

Tegas Echenta, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh semua wanita terutama golongan yang berkerjaya.

“Bagi saya wanita tidak boleh malas untuk cantik dan kena ada gaya bagi menonjolkan personaliti serta keyakinan mereka.

“Walaupun rekaan turban Ilham Echenta ringkas tetapi saya tidak gemar kain yang sifatnya terlalu ‘malas’ hingga nampak seperti basahan,” katanya.

Echenta turut mengakui pernah berada dalam fasa malas melaram ketika hamil anak bongsu tetapi perasaan itu segera dibuang memandangkan kerjayanya di dunia jualan dan pemasaran.

“Bayangkan, bagaimana saya mahu menjual jenama saya jika pakai baju T lusuh dan tidak bersolek,” katanya.


Hampir tewas
Setiap perniagaan ada pasang surutnya dan Echenta mengakui hampir tewas ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 pada 2020.

Kegagalan membuat jualan dalam tempoh berkurung itu menyebabkan butiknya di Bandar Baru Bangi terpaksa ditutup hingga 2022.

“Ketika itu, saya hamil anak keempat dan hampir putus asa dengan ujian yang melanda.

“Tetapi saya cuba bangkit perlahan-lahan, bahkan dalam pantang pun masih buat jualan di samping muatnaik kandungan kreatif seperti video memasak di media sosial,” katanya yang tetap meneruskan perniagaan Ilham Echenta walaupun secara dalam talian.

Keazaman usahawan wanita ini membolehkannya membuka kembali butik tetapi di lokasi baru di Cyberjaya sejak November 2022.


Anak-anak teruskan legasi
Besar harapan Echenta agar empayar yang diusahakan bersama suami tercinta, Shahrir Ramly, 40, dapat diwarisi anak-anak.

Ilham Echenta bukan sekadar jenama perniagaan, sebaliknya menjadi diari yang merakamkan setiap detik suka dan duka dalam perjalanan hidupnya.

Bahkan, kesemua nama anaknya iaitu Ilham Rizky, 13; Tiara Aulia, 11, Talia Nayla, 9; Izhan Fahry, 4; dan Cinta Eilia, 3, diabadikan dalam perniagaan itu termasuk menerusi koleksi-koleksi turban.

“Dari kecil saya tengok emak berniaga jahit dan kemudian saya pula terlibat sama dalam bisnes, jadi banyak nilai sentimental pada jenama ini.

“Dalam tempoh 15 tahun akan datang, saya mahu melihat anak saya pula yang menerajui Ilham Echenta.

“Impian saya untuk buka beberapa butik di luar negara pada masa akan datang tetapi saya tidak letakkan sebarang tempoh sasaran kerana percaya dengan konsep rezeki,” katanya.


Echenta turut berharap jenamanya itu terus malar segar sepanjang zaman.

Serentak itu, proses penambahbaikan akan dilakukan secara konsisten terutama dari segi lenggok rekaan turban bagi memikat hati pelanggan gen Z.

“Sebagai perintis turban instant, saya kena sentiasa kreatif dalam usaha mencantikkan lagi jenama ini dengan rekaan yang segar dan moden,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya