BENTONG: Polis Bentong berjaya mengesan sebuah lori dan pemandunya berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes tular melibatkan kerosakan tayar kenderaan pancit akibat melanggar objek besi tajam di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) berdekatan Karak di sini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, kejayaan itu berikutan makluman termasuk daripada pihak konsesi lebuh raya yang menerima aduan pada 29 April lalu pukul 10.40 malam.
“Hasil siasatan polis tentang kejadian berkenaan yang juga tular di media sosial mendapati pada tarikh tersebut sebuah lori treler membawa muatan besi sekerap dari Belakong, Selangor menuju ke Gebeng, Kuantan, dekat sini dipercayai punca muatan berkenaan terjatuh ke atas jalan.
“Polis di sini turut menerima dua laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan seorang lelaki lagi merupakan pegawai peronda LPT berusia 44 tahun. Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan kepada pemandu atau penumpang kenderaan terlibat cuma mengalami kerosakan apabila tayar pancit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Zaiham, susulan kejadian itu, peronda LPT membuat laporan polis pada pukul 3.40 petang semalam dan pihaknya berjaya mengesan pemilik lori treler pada pukul 8 malam hari yang sama.
“Pada Khamis kira-kira pukul 2 petang, pemandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun hadir di Pejabat Trafik IPD Bentong untuk diambil rakaman percakapan.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 19 LN 166/59. Polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










