SHAH ALAM: Wakil daripada lapan syarikat pengeluar tayar terkemuka antarabangsa dan tempatan semalam turut hadir di gudang penyimpanan tayar di Jalan Kebun, Shah Alam yang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin lalu bagi memeriksa sendiri ketulenan 17,672 tayar yang dirampas.
Antara pengeluar tayar yang hadir dalam operasi itu adalah Michelin, Bridgestone, Toyo, Continental, Goodyear, Yokohama, Maxxis dan Pirelli.
Menerusi operasi bermula pukul 12 tengah hari itu turut disertai Utusan Malaysia selain pasukan teknikal daripada syarikat pengeluar tayar bagi mengesan sebarang salah laku melibatkan produk import mereka.
Antara kesalahan yang dikesan pihak teknikal syarikat-syarikat berkenaan adalah berkaitan, tarikh pengeluaran yang diubah suai, pemalsuan tayar celup dan kemasukan tayar daripada benua Eropah.
Penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan SIRIM Berhad turut hadir menjalankan pemeriksaan sama.
Pengurus Besar Kit Loong Tayaria iaitu pengedar sah tayar Pirelli, Richard Quah berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua tayar Pirelli yang disimpan di premis itu dipercayai dibawa masuk secara tidak sah.
“Sebagai pengedar sah, semua tayar yang diimport secara sah mempunyai tanda khas yang diukir menggunakan laser.
“Tiada satu pun tayar di sini mempunyai tanda tersebut. Kami juga mengesan tanda bahawa tarikh pengeluaran pada salah satu tayar telah diubah, dipercayai bagi tujuan menjual stok lama sebagai tayar baharu,” katanya.
Katanya, tayar itu juga didapati tidak disimpan mengikut kaedah yang sepatutnya.
“Sepatutnya, maksimum enam biji tayar dalam satu timbunan sahaja disusun bagi mengelakkan kerosakan dan menjaga kualiti.
“Namun, tayar di sini disusun jauh lebih tinggi daripada itu. Keadaan ini boleh menyebabkan dinding tayar berubah bentuk, sekali gus membawa kepada kehausan tidak sekata atau lebih teruk, kegagalan tayar ketika digunakan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, Florentin Odenwald berkata, pemeriksaan turut menemui tayar yang sepatutnya dipasarkan di Eropah, tetapi dijual di negara ini.
“Pelekat tayar juga telah dipalsukan bagi mengelakkan pengguna mengenal pasti negara asal.
“Untuk pasaran Malaysia, kami hanya membawa masuk tayar buatan Thailand kerana ia diformulasikan khusus mengikut keadaan jalan dan iklim di sini,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Utusan Malaysia turut menyertai pertemuan pemain industri bersama Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.
Mohamad Zamri berkata, pemain-pemain industri perlu mencari penyelesaian yang lebih mampan dalam memastikan tiada lagi ketirisan membabitkan hasil kerajaan dalam industri import tayar. – UTUSAN









