Cikgu pencen ligat buat bunga sabun

Cikgu pencen ligat buat bunga sabun

SHADIAH AZIZ perlu menyiapkan 2,000 kuntum bunga telur sabun yang ditempah pelanggan hingga April depan. -GAMBAR IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENERIMA 2,000 kuntum tempahan bunga telur sabun merupakan pencapaian luar biasa bagi seorang pesara.

Apatah lagi, seni kraftangan bukan kepakarannya dan hanya mula bergiat serius dalam bidang itu, tiga tahun lalu.

Shadiah Aziz, 60, dari Taman Bertam Indah, Kepala Batas di Pulau Pinang membuktikan usia bukan penghalang seseorang mempelajari ilmu baharu dalam hidup mahupun mencipta kejayaan.

Bekas guru pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat itu berkata, kesemua tempahan tersebut diterima sejak tahun lalu lagi daripada pelanggan di merata negeri.

“Jumlah ini merupakan yang tertinggi sepanjang saya membuat bunga sabun.

“Sampaikan saya terpaksa tutup sementara tempahan sehingga April depan kerana risau tidak menang tangan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Walaupun sekadar hobi, tetapi ibu kepada lima anak ini mampu meraih pendapatan sampingan kira-kira RM500 setiap bulan.

Jika tempahan tinggi terutama pada musim cuti sekolah, jumlah itu melonjak kepada RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Ujarnya, setiap bunga telur sabun dijual pada harga antara RM2.80 hingga RM3.50 sekuntum.

Bagi bunga ros dan orkid pasu pula harganya bermula dari RM50 hingga RM200 manakala hantaran cincin pula antara RM50 hingga RM70.

ISI MASA LAPANG
Shadiah memilih seni kraf bunga sabun bagi mengisi masa terluangnya di rumah selepas bersara pada Mac 2020.

Tempoh itu serentak dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini akibat pandemik Covid-19.

Bermula dengan cuba-cuba, akhirnya timbul rasa seronok.

Menceritakan lebih lanjut, ujarnya, minat pada kraf itu sudah dipupuk sejak 2015 lagi, bahkan sempat mengikuti satu kelas secara dalam talian dengan Rashidah Rejab.

Namun, disebabkan ilmu yang masih tumpul, Shadiah tidak mengembangkan hobi itu.

Pada Januari 2020, beliau kembali memantapkan kemahiran dan berguru dengan Shahri Hassan di Kedah.

“Saya diajar cara membuat doh dan macam-macam jenis bunga hingga berjaya menyiapkan gubahan dalam pasu.

“Tiga bulan kemudian saya bersara dan tiba-tiba PKP pula.

“Masa itu belum ada cucu lagi dan timbul idea untuk buat bunga sabun secara serius untuk isi masa di rumah,” jelasnya.

Di peringkat awal penglibatannya, bunga sabun dijadikan sebagai hadiah kepada sanak saudara dan kawan-kawan.

Lama-kelamaan, ramai yang tertarik dengan keunikan produk itu selepas melihat gambar-gambar dimuat naik di Facebook.

“Selepas itu, saya mula dapat banyak tempahan daripada pelanggan di Johor, Melaka, Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Sarawak,” katanya.

Rutinnya bermula dari pukul 3 hingga 5 petang ketika dua cucunya tidur dan disambung semula di sebelah malam jika ada keperluan.

Bagi mendapatkan inspirasi gubahan, Shadiah turut Shadiah Azizmenjadikan Youtube dan Pinterest sebagai sumber rujukan.

ORKID RM500 TERBANG KE SARAWAK
Antara kenangan manis guru pencen ini apabila menerima tempahan bunga orkid pasu daripada pelanggan di Sarawak.

Pelanggan itu sanggup berhabis hampir RM500 semata-mata untuk membeli bunga sabun yang dihasilkannya.

Shadiah berkata, kos tinggi itu disebabkan caj penghantaran yang bernilai RM250 ke negeri berkenaan, lebih mahal berbanding harga sepasu bunga sabun.

“Saya beritahu semula kepada pelanggan tentang caj kurier dan tidak marah jika dia mahu membatalkan pesanan.

“Tetapi dia tetap mahu membeli dan sanggup membayar segala kos kerana minat pada orkid,” katanya.

ADUNAN LEMBIK
Penghasilan bunga sabun hanya memerlukan empat bahan iaitu sabun, gam, minyak bayi dan tepung jagung.

Manakala bahan tambahan pula ialah warna air, lidi dan reben.

Jelas Shadiah, cabaran yang sering dihadapi semasa proses penghasilan kraf itu ialah doh lembik atau cair.

“Ia mungkin disebabkan tepung jagung dan gam yang tidak sesuai atau berbau.

“Semasa awal-awal dulu, banyak kali adunan dibuang kerana terlalu lembik hingga tidak boleh membentuk kelopak,” kata nenek dua cucu itu.

Ujarnya, adunan yang siap dimasak kemudian disimpan semalaman.

Dalam pada itu, kata Shadiah, bau wangi sabun lazimnya hilang dalam tempoh antara empat hingga lima bulan.

Dari segi penjagaan pula amat mudah dengan membersihkan debu-debu yang melekat pada kelopak sahaja.

Katanya, rutin pembersihan itu penting untuk mengelak serangan kulat.

MINAT, SABAR KUNCI UTAMA
Ketika masih dalam perkhidmatan, Shadiah juga aktif menjahit dan memiliki lima mesin termasuk sulaman.

Tetapi, disebabkan faktor usia, anak-anak memintanya menghentikan hobi itu.

Ujarnya, kemahiran menjahit dipelajari selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Ketika itu, beliau sering menerima tempahan tudung dan telekung daripada pensyarah di maktab pada cuti semester.

Dalam pada itu, katanya, hobi membuat bunga sabun boleh dikuasai oleh sesiapa tanpa mengira usia atau jantina selagi ada minat dan kesungguhan.

Seseorang juga perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana belum tentu produk yang dihasilkan menjadi di peringkat permulaan.

“Kalau tiada minat, hasil seni tidak akan cantik seperti yang diinginkan dan paling penting kena sabar,” katanya yang bersedia berkongsi ilmu itu jika ada permintaan.

Orang ramai yang berminat menempah bunga sabun, boleh melayari laman Facebook, Shadiah Aziz. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya