KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan awal.
Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang berkata, pada masa ini fokus utama adalah menguatkan parti di semua peringkat sebagai langkah persiapan awal untuk menghadapi PRN yang akan diadakan pada bila-bila masa.
“Pemuda meramalkan cabaran pada PRN akan datang pasti bertambah hebat, oleh itu, kita perlu perhebatkan persediaan dan gerakan kita bermula awal.
“Pemuda UPKO tidak akan gentar sama sekali dengan siapapun lawan dan akan terus berjuang bersama-sama rakan sekutu menggunakan kaedah politik sihat dan matang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, persediaan awal itu perlu memandangkan PRN mungkin akan diadakan lebih awal daripada tempoh penggal DUN berakhir pada September 2025.
“Apa yang perlu pergerakan pemuda lakukan selama adalah memperkuatkan parti dan sentiasa bekerjasama erat di setiap bahagian di seluruh negeri.
“Ia termasuk usaha melakukan layanan sebaiknya bagi mendekati pengundi tanpa mengira sebarang perbezaan dan membantu rakyat yang memerlukan dalam era pelbagai cabaran seperti kos sara hidup dan pendidikan,” katanya.
Mengenai Program Retreat ‘Pemuda Pemangkin Aspirasi Rakyat’ yang diadakan baru-baru ini, Felix berkata, pembentangan dan perbincangan dalam bengkel-bengkel melalui Retreat ini akan diperhalusi dengan satu resolusi.
Resolusi itu akan menjadi panduan serta dasar dan teras Pemuda UPKO menghadapi cabaran politik yang mendatang.
“Persediaan itu juga merangkumi aturan strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti dan mengekalkan kerjasama dengan parti-parti gabungan sedia ada.
“Bekerja sebagai sebuah pasukan penting kerana ia merupakan penentu kejayaan parti untuk berhadapan dengan pihak lawan dalam era yang mencabar termasuk arus baharu media sosial seperti Facebook, TikTok dan sebagainya yang menjadi platform menyerang parti serta pemimpin UPKO,” katanya. – UTUSAN