BEIJING: Saintis China dan antarabangsa mendedahkan kemerosotan ketara dalam kapisiti pemulihan hutan global selepas kebakaran berskala besar pada abad ke-21.
Kajian mendapati kurang daripada satu pertiga hutan yang terjejas mampu pulih dalam tempoh tujuh tahun selepas kebakaran.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Ecology & Evolution, mengenal pasti faktor utama pemulihan hutan merentasi zon iklim dan tempoh masa berbeza.
Buat pertama kalinya, ia turut mendedahkan daya tahan hutan semakin sensitif terhadap tahap keterukan kebakaran, sekali gus meningkatkan risiko kemerosotan hutan secara meluas di peringkat global.
Pasukan penyelidik diketuai Chen Ziyue dari Universiti Normal Beijing, Wu Zhaoyang dari Institut Sains Geografi dan Sumber Asli Akademi Sains China dan Joseph Penuelas dari Universiti Autonomi Barcelona, menganalisis 3,281 kejadian kebakaran besar di seluruh dunia menggunakan rangka kerja metodologi hibrid.
Kajian menunjukkan sejak 2010, kebakaran besar menjadi semakin teruk, meningkat 42.9 peratus di kawasan kering dan 54.3 peratus di zon boreal.
Kawasan yang paling terjejas termasuk barat Amerika Utara, utara-tengah Siberia dan tenggara Australia.
Dalam tempoh sama, kadar pemulihan hutan selepas kebakaran juga menurun, dengan kawasan gagal pulih meningkat daripada 22.6 peratus kepada 25.6 peratus, di mana struktur kanopi dan produktiviti hutan paling sukar untuk dipulihkan.
Kajian tersebut memberi amaran penurunan daya tahan hutan selepas kebakaran boleh membawa kepada kehilangan sejumlah besar biodiversiti, sumber biologi dan takungan karbon.
Perubahan iklim yang semakin melampau seperti gelombang haba dan kemarau memburukkan lagi tekanan, menyebabkan ekosistem hutan yang terjejas kebakaran menghadapi cabaran dalam proses pemulihan semula jadi.- XINHUA










