AS nafi rancangan pindah rakyat Palestin ke Libya

AS nafi rancangan pindah rakyat Palestin ke Libya

PENDUDUK Palestin membawa barangan mereka ketika berpindah ke tempat lain susulan arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh Israel di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRIPOLI: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Tripoli menafikan laporan yang mendakwa Washington sedang merancang untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza ke Libya.

Khamis lalu, NBC News melaporkan pentadbiran Presiden Donald Trump sedang merangka pelan untuk memindahkan sehingga satu juta rakyat Palestin dari Gaza ke Libya secara tetap.

Laporan itu memetik lima sumber yang dikatakan mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut, termasuk dua individu yang terlibat secara langsung dan seorang bekas pegawai AS.

“Laporan mengenai dakwaan rancangan untuk memindahkan penduduk Gaza ke Libya adalah tidak benar,” kata Kedutaan AS melalui platform X.

Sebelum ini, Trump pernah menyatakan hasrat agar AS mengambil alih wilayah Gaza dan menempatkan semula penduduk Palestin di negara lain.

Rakyat Palestin menolak sekeras-kerasnya sebarang rancangan melibatkan pemindahan dari Gaza dengan menyamakan cadangan itu sebagai ulangan peristiwa Nakba pada 1948.

Peristiwa itu menyaksikan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal akibat peperangan yang membawa kepada penubuhan negara haram Israel.

Ketika mula mengutarakan idea itu selepas menjadi presiden, Trump menyatakan keinginannya agar sekutu AS seperti Mesir dan Jordan menerima sebahagian rakyat Gaza.

Kedua-dua negara itu bagaimanapun menolak cadangan berkenaan yang mendapat kecaman meluas termasuk daripada rakyat Palestin, negara Arab dan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menganggapnya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.

Dalam lawatan ke Qatar minggu ini, Trump mengulangi hasratnya untuk mengambil alih Gaza dan keinginan menjadikan kawasan itu sebagai ‘zon bebas’ selepas mendakwa tiada apa lagi yang tinggal untuk diselamatkan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN