PETALING JAYA: “Saya ini cuai dan lalai orangnya. Selalu terlupa letak kereta, barang di mana. Sebab itu suami suruh pasang pengawal keselamatan.”
Itu jawapan pelakon, Nora Danish apabila dilihat sering tampil ke acara hiburan bersama pengawal keselamatan.
Jelas Nora, keputusan tersebut adalah kehendak suaminya, Nedim Nazri selepas risau dengan keselamatan dan sikap lalainya ketika berada di luar rumah.
“Sebenarnya saya lebih senang sendiri. Yelah, nak keluar ke apa. Tetapi suami saya yang minta pasang pengawal peribadi. Bukan apa, sebab kadang-kadang saya leka, barang selalu tertinggal, telefon pun entah kemana.
“Selain keselamatan, itu antara sebab utama suami yang pasangkan pengawal peribadi kepada saya sejak mula berkahwin lagi. Sudah lama sebenarnya saya bersama pengawal peribadi” katanya.
Nora berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana Sayu Yang Syukur semalam.
Dalam pada itu, pelakon itu juga tidak menafikan kewujudan pengawal peribadi itu sedikit sebanyak menjadikan urusan hariannya lebih mudah.
Malah, suaminya juga tidak perlu risau keselamatannya ketika berada di luar rumah.
“Bila tiada pengawal, saya kena bawa kereta sendiri. Suami pula telefon 24 jam sebab risau saya dekat mana.
“Jadi, dengan ada pengawal keselamatan ini, dia akan membantu saya dalam banyak perkara,” ujarnya. -UTUSAN