PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menafikan dakwaan rasuah melibatkan rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai lebih RM16 bilion.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dakwaan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard itu tidak berasas dan menunjukkan beliau tidak memahami proses perolehan serta peruntukan belanjawan kerajaan.
Katanya, fitnah bahawa projek RTB yang mencecah sehingga RM16.6 bilion dan terdapat syarikat serta individu yang langsung tidak dikenali memperoleh komisen sebagai proksi kepada menteri juga adalah tuduhan yang tidak berasas serta berniat jahat.
“Kerajaan ini telah menilai semula cadangan projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi untuk memberi keutamaan kepada kawasan kritikal dengan siling peruntukan pembangunan keseluruhan 33 projek RTB yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan berjumlah RM11.8 bilion, bukan RM16.6 bilion.
“Hampir semua projek RTB kerajaan pada tahun ini masih melalui proses tender dan untuk tahun ini 19 projek telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST). Belum ada perbelanjaan yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.
“Selain itu, projek RTB kerajaan melalui proses perolehan yang telus melibatkan tatakelola Kementerian Kewangan serta mesyuarat Lembaga Perolehan yang mana saya sendiri tidak terlibat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah jahat ini dan akan mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap beliau dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan, Che’gu Bard menggesa polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah RTB itu yang didakwa melibatkan syarikat guaman di Klang dan Batang Kali, Selangor.
Dakwa beliau, pihaknya akan menyerahkan kepada polis senarai syarikat guaman yang terlibat.
“Syarikat yang memperoleh projek berkenaan perlu membayar komisen setinggi lapan peratus dan wang itu dimasukkan dari syarikat kepada akaun peguam sebelum diberi kepada individu atau syarikat yang menjadi proksi,” katanya.
Justeru, beliau berkata, siasatan itu perlu dilakukan bagi membongkar pembayaran bernilai ratusan hingga bilion ringgit antara proksi yang membuat perjanjian agar dibayar ‘fi perunding cara’ kepada seorang individu yang didakwa menerima puluhan juta ringgit. – UTUSAN