Tolak campur tangan ketiga, Thailand pilih rundingan dua hala

Tolak campur tangan pihak ketiga, Thailand pilih rundingan dua hala

SEBUAH rumah ibadat musnah terkena bedilan artileri tentera Thailand di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Hubungan tegang Kemboja dengan Thailand belum reda apabila Phnom Penh mendakwa Bangkok menarik balik persetujuan terhadap usul gencatan senjata yang dikemukakan Malaysia.

Pertempuran antara kedua-dua negara berterusan buat hari ketiga berturut-turut, menyaksikan jumlah korban meningkat kepada 33 orang dan lebih 140,000 melarikan diri.

Perdana Menteri Hun Manet menerusi akaun media sosialnya memberitahu, beliau bersetuju untuk gencatan senjata yang dicadangkan oleh rakan sejawatnya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Thailand juga pada mulanya memaklumkan mereka bersetuju dengan usul berke­naan.

“Namun, satu jam kemudian, pihak Thailand memaklumkan mereka menarik balik persetujuan tersebut. Ia amat mengecewakan,” kata Hun Manet.

RUNDINGAN DUA HALA

Kelmarin, dua pegawai Thailand menerusi wawancara eksklusif dengan Reuters memberitahu, Bangkok lebih memilih untuk menyelesaikan konflik yang berlaku melalui rundingan dua hala berbanding campur tangan pihak ketiga.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Ba­lankura berkata, ‘hubungan lebih stabil’ jika rundingan dua hala dilakukan antara Kemboja dengan Thailand.

“Saya tidak fikir kami memerlukan pengantaraan daripada negara ketiga buat masa ini,” katanya.

Timbalan Menteri Luar Thailand, Russ Jalichandra pula berkata, Bangkok sentiasa menghargai tawaran perdamaian yang diusahakan Malaysia, namun percaya mekanisme dua hala masih belum digunakan sepenuh­nya.

“Kami kekal dengan pendirian mekanisme dua hala adalah jalan penyelesaian terbaik kerana ini adalah konfrontasi dua negara.

“Bagi mencapai rundingan ini, Kemboja haruslah berhenti menyerang Thailand di sepanjang sempadan terlebih dahulu,” katanya.

PERTIKAIAN BERTERUSAN

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain atas tindakan memulakan serangan. Thailand menuduh Kemboja menyasarkan infrastruktur awam, termasuk sebuah hospital dan stesen minyak yang terkena serangan roket.

Di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Duta Kemboja ke PBB Chhea Keo mempersoalkan dakwaan Thailand mengenai Kemboja yang merupakan negara lebih kecil dan kurang kelengkapan ketenteraan namun boleh memulakan konflik.

“UNSC menyeru kedua-dua pihak menunjukkan tahap kawalan maksimum dan menggunakan penyelesaian diplomatik. Itulah juga yang kami serukan,” katanya.

Pertempuran pernah berlaku antara 2008 hingga 2011, mengorbankan sekurang-kurangnya 28 nyawa dan memaksa puluhan ribu orang berpindah.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah membuat keputusan pada 2013, yang meredakan ketegangan buat lebih satu dekad, namun konflik kembali tercetus pada Mei lalu apabila seorang tentera Kemboja terbunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN