BUKIT GANTANG: Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyokong desakan pesawah supaya jelapang padi Kerian yang mengalami masalah bekalan air diisytihar sebagai kawasan bencana.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang sedia membangkitkan di Parlimen masalah bekalan air ke sawah di Daerah Kerian berikutan Tasik Bukit Merah di Bagan Serai surut akibat musim panas.
Menurutnya, pengisytiharan sebagai kawasan bencana perlu memandangkan lebih 8,000 pesawah di Kerian kini berdepan ancaman kerugian akibat Tasik Bukit Merah semakin surut.
“Sekiranya tiada pihak lain tampil menyuarakan perkara ini, saya akan bangkitkan di Parlimen.
“Jelapang padi Kerian perlu diisytihar sebagai kawasan bencana bagi membolehkan pesawah menuntut pampasan di bawah skim insurans pertanian yang ditawarkan melalui Agrobank,” katanya kepada Mingguan Malaysia pada program pengagihan ikan secara percuma kepada penduduk di Pusat Khidmat beliau di sini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Timbalan Pengerusi Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) Azhar Hashim meminta kawasan jelapang padi daerah Kerian diisytihar kawasan bencana berikutan musim panas yang menjejaskan bekalan air akibat paras air Tasik Bukit Merah yang surut.
Menurut Syed Abu Hussin, cuaca panas menyebabkan Tasik Bukit Merah yang membekalkan air ke blok-blok sawah sekitar Kerian kini hampir kering.
Beliau berkata, paras bacaan air di tasik tersebut kini menurun di bawah paras 20 kaki yang menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian menghentikan pengairan ke sawah.
“Saya menyambut baik saranan agar satu langkah diambil bagi mengiktiraf kawasan itu sebagai kawasan bencana agar pesawah yang terjejas tidak terus menanggung kerugian tanpa pembelaan,” katanya.
Mengenai pengeluaran beras negara terjejas susulan kemarau di Kerian, Syed Abu Hussin berkata, bekalan beras negara masih berada pada paras mencukupi kerana disokong simpanan stok penimbal dan beras import.
“Walaupun hasil tempatan mungkin terjejas disebabkan jelapang padi Kerian mengalami kemarau namun bekalan beras untuk pengguna tidak akan terganggu,” katanya. – UTUSAN











