ALOR SETAR: Pertembungan antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Selangor FC, malam esok ibarat misi hidup dan mati kepada Sang Kenari yang memerlukan kemenangan untuk berada di kedudukan kedua Liga Super.
Ianya sekali gus menghidupkan peluang kepada pasukan bimbingan Nafuzi Zain itu untuk layak ke saingan Piala AFC musim depan.
Menurut Nafuzi, beliau mahu anak-anak buahnya mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit permainan untuk menundukkan Selangor yang dianggap sebuah pasukan lengkap di segenap posisi.
Begitu pun katanya, dalam mengatur strategi bagi perlawanan itu, Nafuzi tidak berhasrat mengarahkan anak-anak buahnya memberi fokus terhadap pemain tertentu dalam pasukan lawan.
“Kita tahu semua pemain Selangor berkualiti dan mereka mantap di segenap posisi. Jadi tumpuan kita tidak seharusnya diberikan sepenuhnya kepada mana-mana pemain secara spesifik.
“Sebaliknya semua pemain perlu fokus dalam melaksanakan apa yang dirancang. Setakat ini tiada pemain yang cedera atau digantung permainan dan pekara itu sesuatu yang baik untuk pasukan.
“Peluang untuk berada di tangga kedua masih terbuka untuk kedua-dua pasukan jadi kami perlu fokus untuk menang tetapi rasanya buat masa ini, tiada tekanan dirasakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al Hafiz memaklumkan, ketika ini kesemua pemain Sang Kenari dilihat berada dalam keadaan cukup baik untuk berdepan perlawanan itu.
“Semestinya Selangor ramai pemain berkualiti. Antara pemain perlu diberi perhatian adalah Faisal Halim yang memang diketahui cukup lincah dan mempunyai penyudah amat baik.
“Jadi kami perlu kawal ketat setiap gerak-geri pasukan lawan dalam perlawanan itu. Setakat ini saya lihat semua rakan-rakan sepasukan berada dalam keadaan baik dengan masing-masing cukup fokus melakukan persediaan,” katanya.
Kalamullah turut mengharapkan kehadiran penonton untuk memenuhi Stadium Darul Aman, malam esok kerana ianya perlawanan terakhir KDA di gelanggang sendiri.