PETALING JAYA: Mengakui pernah melalui fasa keresahan melampau dan trauma, penyanyi, Nana Sheme, terkenang fasa itu semasa menuliskan lagu terbarunya, Aku Mencoba.
Menurut Nana atau Nur Nabilah Hashimi, 28, trauma itu bermula ketika ibu bapanya berpisah ketika dirinya masih kecil diikuti pemergian ibu ketika berusia 15 tahun.
“Sebelum ini saya pernah kongsikan bahawa saya mempunyai sejarah menghidapi penyakit kebimbangan melampau dan kemurungan.
“Ia bermula dengan trauma masa kecil di mana ibu bapa berpisah ketika saya berusia 12 tahun.
“Kemudian diikuti dengan pemergian ibu semasa saya berusia 15 tahun. Saya tidak sempat untuk sembuh sepenuhnya,” katanya.
Nana Sheme ditemui Utusan Malaysia ketika sidang media lagu terbaru, Aku Mencoba.
Tambah peserta Big Stage musim ketiga itu lagi, penyakitnya semakin membaik setelah berkenalan dengan suami, Zikri Zakaria empat tahun lalu.
“Saya sudah empat tahun bebas daripada sebarang ubat-ubatan. Keadaan saya makin baik selepas bertemu suami kerana mempunyai tempat untuk berkongsi perasaan.
“Suami adalah pendengar yang baik walaupun di awal perkahwinan saya sering berkelahi dengannya.
“Namun lama kelamaan saya bermuhasabah. Suami saya juga sedang cuba yang terbaik dalam hidupnya,” katanya lagi.
Mengakui Ku Mencoba sangat berbeza dengan lagu yang pernah dihasilkan sebelum ini, Nana mengakui muzik kali ini menampilkan sisi kematangan dirinya.
“Betul, lagu ini berbeza dengan karya sebelum ini. Kali ini saya tampil dengan lagu yang menampilkan sisi lebih matang. Rentak sebegini sebenarnya lebih dekat dengan saya.
“Saya tidak mahu lagu ini menceritakan tentang saya semata-mata. Tapi semoga ia mewakili perasaan semua yang mendengar.