KOTA BHARU: Penutupan dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Masjid Mukim Padang Licin dan SK Kedai Tanjong hari ini menyaksikan hanya empat lagi yang masih aktif menempatkan mangsa banjir di Pasir Mas.
Empat PPS yang masih aktif ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, SMK Gual Periok dan SK Gual Periok.
Sekretariat Pengurusan Bencana Jajahan Pasir Mas dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 4 petang ini seramai 1,175 mangsa banjir dari 343 keluarga masih berlindung di empat PPS itu.
“Daripada jumlah tersebut, PPS SK Tok Deh menempatkan mangsa paling ramai iaitu 559 orang, diikuti SK Gual Periok (249), SMK Baroh Pial (167) dan SMK Gual Periok (108).
“Keadaan cuaca yang baik hari ini menyaksikan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang sudah kembali normal,” katanya.
Menurutnya, beberapa batang jalan seperti Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang (Masjid Padang Licin), Jalan SK Gual Tok Deh (berhampiran padang bola), Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah (Kampung Tersang) dan Jalan Tok Deh-Gual Periuk (Kampung Tok Deh) masih ditutup kepada semua kenderaan.
Katanya, beberapa buah kampung seperti Kampung Tersang, Bendang Parol (Tok Deh), Gual Mekong, Baroh Pial, Kubang Kuau, Kuin Merah, Bukit Tandak, Bawah Lembah, Gual Periok dan Kusar masih ditenggelami banjir.-UTUSAN