Pilih menyewa kerana sukar dapat pinjaman - Utusan Malaysia

Pilih menyewa kerana sukar dapat pinjaman

PEMBELI rumah sukar dapat pinjaman bank kerana skor kredit dan pendapatan yang rendah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI rumah sendiri pasti menjadi impian setiap individu namun kadang-kala kesukaran mendapatkan pembiayaan membantutkan keinginan tersebut.

Bagi golongan B40 dan M40 yang berdepan kesukaran dengan kos sara hidup semakin meningkat dan komitmen bulanan yang perlu dititikberatkan, pemilikan rumah menjadi seakan angan-angan sahaja.

Namun, bakal pembeli juga sedar garis panduan yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam meluluskan permohonan pembiayaan selain kesedaran diri sendiri yang tidak mahu mengambil risiko menambah komitmen dalam keadaan semasa.

Menurut pekerja swasta, Afiq Al-Hafiz Mat Yusof, dia masih belum berfikir untuk membeli kediaman sendiri memandangkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu selain bimbang sukar melunaskan bayaran bulanan setelah terikat dengan komitmen tersebut kelak.

“Beli rumah ini komitmen lebih 30 tahun, jadi saya lebih berhati-hati. Selain itu, sebelum ini saya telah mencuba mendapatkan pembiayaan bagi sebuah rumah berharga RM300,000 namun tidak mendapat kelulusan pihak bank.

“Ketika itu saya baru mula bekerja jadi mungkin permohonan tidak diluluskan kerana wang simpanan dalam bank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masih rendah.

“Namun, setelah berkeluarga saya rasa masih belum masanya untuk membuat pembiayaan berskala besar seperti itu dan lebih selesa menyewa buat masa sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi pekerja swasta, Nadia Azhari, dia juga memilih untuk menyewa kerana pihak bank yang lebih konservatif mengenai kelulusan pinjaman.

“Saya pernah dua kali mencuba untuk membuat pinjaman perumahan namun kedua-duanya ditolak pihak bank mungkin kerana gaji saya yang rendah. Saya pernah membuat pinjaman untuk rumah kos rendah pun tidak berjaya.

“Jadi, saya harap kerajaan dapat membantu dari segi meningkatkan tahap gaji pekerja di negara ini dan juga berikan bantuan-bantuan lain kepada golongan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, penjawat awam, Mohd. Syafiq Hussin berkata, dia bertuah kerana memiliki pekerjaan yang menjamin jadi urusan mendapatkan pembiayaan perumahan dipermudahkan.

“Saya hanya mempunyai komitmen kereta buat masa ini, jadi apabila saya memohon pembiayaan rumah berharga RM250,000 bulan lalu, pihak bank meluluskan dalam tempoh tiga hari sahaja.

“Bagi saya, kita perlu membina rekod yang baik dalam urusan pembayaran balik pinjaman dengan pihak bank jadi sekiranya kita mahu memohon pembiayaan di masa hadapan, ia akan dipermudahkan kerana rekod bayaran kita yang cantik tanpa tunggakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×