‘Kami jumpa dua lelaki bogel dalam kereta’

‘Kami jumpa dua lelaki bogel dalam kereta’

TENGKU Ibrahim Tengku A Samad Shah (tengah) dan Tengku Ahmad Syazwan Tengku Ibrahim (kanan) di hadapan van yang digunakan dalam menjalankan operasi cegah maksiat.UTUSAN/ SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENCEGAH kemungkaran, tanggungjawab semua umat Islam tanpa mengira pangkat atau kedudukan. 

Ia boleh dilakukan mengikut kemampuan individu sama ada melalui hati, percakapan atau perbuatan. 

Menyedari peranan berdakwah kepada masyarakat, Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Setia Alam menubuhkan Skuad Nahi Mungkar atau dikenali sebagai Skuad Pencegah Maksiat sejak 13 tahun lalu. 

Pengerusi skuad, merangkap bendahari masjid, Tengku Ibrahim Tengku A Samad Shah berkata, skuad dianggotai 12 ahli kariah itu ditubuhkan ketika rumah ibadah itu masih beroperasi sebagai surau pada 2010. 

Ia ditubuhkan bertujuan mencegah kemungkaran dengan mempunyai van khas yang diinfakkan oleh orang perseorangan. 

“Pada peringkat awal, rondaan dibuat sebanyak empat kali seminggu bermula dari pukul 10.30 malam dan berakhir hingga 3.30 pagi. 

“Tugas kami hanya menegur, menasihati dan bukan menghukum mereka yang terjebak dengan maksiat, gejala sosial serta kelakuan tidak bermoral khususnya dalam kalangan remaja,” katanya. 

Operasi turut dilakukan hasil aduan orang awam. Rondaan dilakukan sekitar kawasan tasik, taman, tempat sunyi, ruang parkir dan rumah kediaman berdekatan. 

Skuad berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Balai Polis Komuniti Setia Alam dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). 

Ujarnya, pencegahan dibuat tanpa mengira agama dan bangsa. 

“Kami pernah jumpa dua lelaki Cina berbogel di dalam kereta, kes khalwat, tak berpuasa di bulan Ramadan, isteri berzina dengan lelaki lain dan kes jual dadah serta menemui sekumpulan pelajar Melayu yang selamba meneguk arak di kawasan taman. 

“Bila terserempak dengan kami, ramai yang lari lintang pukang sedangkan tujuan kami lebih pada menegur, mendidik dan menasihati mereka supaya tidak melakukan maksiat,” kongsinya. 

BARU SETAHUN OPERASI 

Sebelum terbinanya Masjid Setia Alam, Surau Luqman al-Hakim beroperasi sebagai masjid sementara khususnya kepada jemaah dari kawasan sekitar termasuk berdekatan Meru, Bukit Raja dan Kapar di Klang. Jaraknya dengan masjid baharu sekitar 900 meter sahaja. 

Disebabkan jumlah penduduk semakin bertambah dengan pelbagai kemudahan lain berdekatan seperti bank, stesen minyak dan taman rekreasi, perancangan untuk membina masjid mula disuarakan pada 2010. 

Lokasinya pula bersebelahan jalan besar di Meru dan laluan ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menjadikan masjid sebagai lokasi transit kepada pengguna untuk menunaikan solat dan berhenti rehat seketika. 

Pengurus masjid itu, Tengku Ahmad Syazwan Tengku Ibrahim berkata, Masjid Setia Alam mula dibina pada 2017 dan sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun. 

Disebabkan berlaku masalah teknikal dan pandemik Covid-19, penyerahan masjid itu tertunda selama lima tahun. 

“Penggerak utama membina masjid ketika itu datang dari Persatuan Komuniti Islam Setia Alam dan beberapa AJK kariah surau-surau lain di kawasan tersebut. 

“Alhamdulillah, masjid yang mampu menampung 3,500 jemaah pada satu-satu masa, siap dibina dan mula beroperasi pada 10 Februari 2022,” katanya. 

Pembinaan masjid yang menelan kos keseluruhan berjumlah RM17.7 juta mendapat sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM14 juta serta infaq penduduk RM3.7 juta. 

Pada awal perancangan, konsep reka bentuk masjid adalah seperti dalam taman. Berikutan ia memakan kos yang tinggi, konsep Masjid Setia Alam diubah kepada reka bentuk moden dan kontemporari. 

Masjid Setia Alam dijangka dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Ramadan tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya