Giliran Nor Iman Aliff raih kontrak RM469,000

Giliran Nor Iman Aliff raih kontrak RM469,000

AHMAD Nor Iman Aliff Rakib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet muay thai negara terus mencipta sensasi dalam sukan berkenaan apabila giliran, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib pula meraih kontrak ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM469,000).

Kontrak lumayan diraih atlet kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu selepas dia berjaya menewaskan petinju dari Iran, Zolfaghari secara knock-out (KO) Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand kelmarin.

Kejayaan itu menjadikan Nor Iman Aliff sebagai atlet muay thai kedua negara meraih kontrak ONE Championship selepas Muhammad Johan Ghazali Zulfikar melakar sejarah menjadi atlet termuda meraih kontrak tersebut.

Nor Iman Aliff yang juga anak bekas peninju negara, Rakib Ahmad menerusi laman Instagram miliknya mengakui kejayaan meraih kontrak itu menjadi perkara paling gembira dalam kerjayanya.

“Tahun ini, jurulatih berjanji kepada saya bahawa kami akan mendapatkan kontrak bersama ONE Championship. Malam ini (kelmarin) satu lagi kejayaan KO dan kami mendapatkannya.

“Saya akhirnya memenangi pertarungan dengan knock-out dan menerima kontrak bernilai AS$100,000 (RM469,000). Malam ini adalah saat paling gembira dalam hidup saya,” tulisnya.

Kemenangan ke atas Zolfaghari adalah kemenangan keempat Nor Iman Aliff dalam pertarungan ONE Championship dan merupakan KO ketiga yang direkodkannya dalam pertandingan itu.

Sebelum ini, Nor Iman meraih dua kemenangan KO dalam ONE Championship Thailand iaitu menumbangkan Ratchadej Sor Petjumrat pada Julai lalu dan turut menumbangkan peserta tuan rumah dalam pertarungan pada April.

Selain kontrak bernilai hampir setengah juta, kemenangan itu menyaksikan Nor Iman yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 dan juara buat dua tahun berturut-turut pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA iaitu pada 2021 dan 2022, turut meraih bonus sebanyak RM46,900.

Bulan lalu, Johan yang berasal dari Sarawak menewaskan lawan dari Russia, Temirlan Bekmurzaev dalam acara ONE Friday Fight untuk meraih kontrak One Championship.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya