15 sekolah di Negeri Sembilan tiada pengusaha kantin - Utusan Malaysia

15 sekolah di Negeri Sembilan tiada pengusaha kantin

ISMAIL Lasim ketika berucap pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada hari keempat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Terdapat 15 buah sekolah di Negeri Sembilan yang memiliki bangunan kantin tetapi tidak mempunyai pengusaha kantin atau pembekal makanan susulan enrolmen murid di sekolah terbabit yang rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Ismail Lasim memberitahu, jumlah enrolmen murid itu menyebabkan tidak ada pengusaha kantin yang bersedia memasuki tender kerana margin keuntungan dan kuasa membeli murid adalah sangat kecil.

Selain itu, kata beliau, terdapat tujuh buah sekolah pula di negeri ini tidak mempunyai bangunan kantin.

Jelasnya, bagi memastikan kesihatan kanak-kanak dan anak muda di sekolah terlibat terjaga melalui amalan pemakanan yang sihat, beberapa tindakan telah diambil termasuk memastikan murid membawa bekal makanan sendiri dari rumah.

“Sekolah dengan usahasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan Lembaga Pengelola Sekolah juga mengambil inisiatif menyediakan makanan untuk murid kepada murid yang tidak menerima tajaan melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Sekolah juga mengambil inisiatif dengan memberi kebenaran pembekalan makanan kepada murid oleh pembekal makanan sekolah. Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak sekolah sentiasa memastikan pembekal makanan ini mematuhi piawaian pembekalan makanan sihat ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan (hari keempat), Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Ismail menjawab soalan Dr. G. Rajasekaran (PH-Sri Tanjung) yang ingin mengetahui apakah tindakan kerajaan negeri terhadap isu sekolah yang tidak mempunyai kantin dan tidak beroperasi kerana ketiadaan vendor.

Sementara itu, ketika ucapan penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja, beliau memberitahu, setakat ini tiada sebarang ketetapan untuk mewujudkan sebuah universiti hak milik negeri.

“Di Negeri Sembilan ketika ini sudah mempunyai banyak universiti seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan tiga buah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) malah mempunyai Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) di Kuala Pilah.

“KYNS ini merupakan institut pengajian milik kerajaan sepenuhnya yang membuka peluang kepada anak-anak Negeri Sembilan untuk memasuki kursus kemahiran.

“Setakat ini kerajaan Negeri Sembilan belum ada ketetapan untuk mewujudkan sebuah universiti sendiri, seperti diketahui ia memerlukan peruntukan yang besar dan perlu kajian daripada segi banyak perkara bagi penubuhan sebuah universiti,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN