PETALING JAYA: Aspek ketajaman di depan gawang perlu diberikan keutamaan oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon bagi memastikan skuad kebangsaan tidak ketandusan jaringan dalam perlawanan akan datang.
Perlu diakui Harimau Malaya sentiasa menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini kecuali ketika tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka 2023, namun jumlah peluang yang dibazirkan di depan gawang juga agak tinggi.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, aspek serangan merupakan bahagian penting yang perlu diberikan tumpuan oleh Pan Gon dan peminat juga mahu melihat Harimau Malaya lebih tajam.
“Pada perlawanan Pestabola Merdeka menentang Tajikistan baru-baru ini, dapat saksikan kita banyak mencipta peluang, namun tidak diterjemahkan kepada gol.
“Sebagai bekas penyerang kebangsaan, perkara penting dalam setiap perlawanan adalah menjaringkan gol. Oleh itu pada perlawanan akan datang iaitu kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, kita perlu atasi kelemahan ini,” kata Zainal.
Harimau Malaya ketika ini ketandusan penyerang tunggal dan satu-satunya yang dalam senarai panggilan Pan Gon kelmarin ialah penyerang Sabah FC, Darren Lok.
Bagaimanapun, skuad kebangsaan bertuah kerana mempunyai rangkaian hadapan yang cukup baik ketika ini dengan gandingan trio Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Azraai Khor Abdullah berharap Pan Gon dapat memperkemaskan bahagian pertahanan bagi mengelak skuad negara di bolosi ketika membuat serangan balas.
“Kita asyik tumpu kepada serangan, tetapi kena ingat bahagian pertahanan juga kena perbaiki. Kena ada ‘bantuan’ sementara tunggu Corbing Ong turun selepas membantu bahagian serangan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, bahagian tengah Harimau Malaya ketika ini berada tahap terbaik dengan adanya pemain naturalisasi, Paulo Josue yang kembali bersama pasukan.