ALOR GAJAH: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah rezeki yang memihak kepada bekas jurugambar akhbar, Badrul Hisham Abdul Molok yang memenangi seekor lembu bernilai RM5,000.
Dia diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah pada Program Melaka Bike Week 2025 (MBW2025) di Stadium Universiti Islam Melaka (Unimel), Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Badrul Hisham, 57, dari Larkin, Johor berkata, dia merupakan salah seorang daripada 400 peserta dari seluruh negara yang menyertai MBW2025 berakhir esok.
“Saya datang seorang diri untuk menyertai program ini walaupun hanya menunggang motosikal Yamaha Y16ZR dan hajat saya sekadar ingin berjumpa bikers (penunggang motosikal) dari seluruh negara.
“Namun, tidak sangka pula saya diumumkan sebagai pemenang hadiah yang menawarkan seekor lembu. Inilah kenangan manis saya dapat hari ini,” katanya ketika ditemui.
Badrul Hisham berkata, dia tidak berhajat untuk membawa pulang lembu itu kerana kos yang tinggi.
“Saya telah berbincang dengan pihak penganjur dan bersetuju untuk menjualnya semula dengan harga yang berpatutan,” katanya. – UTUSAN










