ALOR SETAR: Kemelut politik Perlis didakwa sebagai bukti nyata kegagalan kepimpinan Pas, khususnya Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam mengurus kuasa, disiplin parti dan amanah rakyat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, berlaku percanggahan serius dalam kepimpinan Pas yang berpunca daripada kenyataan dan keputusan Presidennya.
“Apabila Presiden Pas secara terbuka membangkitkan isu projek tidak mengikut peraturan dan unsur rasuah, rakyat berhak mengharapkan tindakan yang tegas, berfakta dan bertanggungjawab.
“Malangnya, tuduhan berat itu tidak disusuli dengan penjelasan yang lebih jelas atau proses yang telus, sebaliknya diikuti pula dengan naratif bahawa ‘Menteri Besar dizalimi’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Abdul Hadi berkata, terdapat tekanan berkaitan projek yang tidak mengikut peraturan, menyebabkan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli tidak boleh menuruti perbuatan yang salah.
Mahfuz berkata, Abdul Hadi tidak boleh menjadi pihak yang mencetuskan keraguan terhadap integriti pentadbiran negeri dan kemudian tampil sebagai pembela yang meminta simpati.
“Ini bukan kepimpinan yang konsisten, tetapi kepimpinan yang mengelirukan rakyat. Lebih memburukkan keadaan, krisis ini tidak berpunca daripada tekanan luar atau musuh politik, tetapi hasil tindakan dalaman Pas sendiri dengan pemecatan ADUN mereka sebagai ahli dan akhirnya peletakan jawatan Menteri Besar.
“Semua keputusan ini berlaku di bawah kepimpinan Presiden Pas dan perkara ini tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab beliau,” ujarnya.
Kata Mahfuz, jika Presiden Pas benar-benar berwibawa sebagai pemimpin tertinggi parti dan tokoh agama, keutamaan yang sepatutnya adalah menstabilkan pentadbiran negeri, mencari penyelesaian dalaman dan menampilkan kepimpinan yang matang.
Tambahnya, krisis Perlis juga mencerminkan kegagalan Pas memisahkan antara kuasa politik, kepentingan peribadi dan pengurusan parti yang ianya bukan sahaja merosakkan imej kerajaan negeri, malah menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan Pas mentadbir secara berintegriti dan profesional.
“Rakyat Perlis tidak memerlukan retorik, simpati terpilih atau kenyataan bercanggah. Rakyat memerlukan kepimpinan yang berani bertanggungjawab, bercakap dengan satu nada dan sanggup mengakui kesilapan.
“Presiden Pas perlu berhenti meletakkan kesalahan kepada keadaan, kononnya wujud kezaliman terhadap Mohd. Shukri. Soalan sebenar yang perlu dijawab ialah mengapa di bawah kepimpinannya, Pas gagal mengekalkan kestabilan di sebuah negeri yang kecil tetapi sarat dengan krisis besar,” katanya. – UTUSAN










