KUANTAN: Lima nelayan dipercayai warga Myanmar yang menggunakan bot nelayan tempatan jenis pukat tunda kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang kerana tidak memiliki permit sah, petang semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Kamal Ariffin Jusoh berkata, penahanan bot tersebut dilakukan di kedudukan lebih kurang 18 batu nautika timur dari Nenasi.
Menurutnya, pihaknya yang sedang menjalankan rondaan Op Makmur telah menahan bot terbabit apabila mendapati ia sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan sekitar pukul 1 petang.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong bot yang merupakan warga Myanmar berusia lingkungan 23 hingga 44 tahun.
“Kesemua kru tersebut gagal mempamerkan sebarang dokumen kelulusan penggunaan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan dan turut gagal mempamerkan pas lawatan kerja sementara.
“Dengan itu, bot dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ariffin berkata, dalam operasi tersebut pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 700 kilogram.
Katanya, susulan itu ia diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.
“Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti jenayah dan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran yang menyalahi undang-undang bagi memastikan perairan negeri ini aman dan sejahtera.
“Pihaknya juga akan terus memperkasa penguatkuasaan dan membuat rondaan dengan melaksanakan pemeriksaan terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – UTUSAN










